KUCHING: Kuching City FC menewaskan Terengganu FC 2-1 pada saingan Liga Super di Stadium Negeri, Sarawak di sini malam tadi.
Pasukan pelawat terlebih dahulu mencuri tumpuan apabila Shervoni Mabatshoev meledakkan gol pembukaan seawal minit ke-13, sekali gus mengejutkan penyokong tuan rumah yang hadir memberikan sokongan.
Tersentak dengan jaringan itu, Kuching City memperkemaskan corak permainan selepas rehat dengan meningkatkan tekanan ke atas benteng pasukan pelawat.
Serangan bertali arus itu membuahkan hasil apabila Wanja Ronald Ngah berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-63 menerusi penyudah kemas, menghidupkan semula harapan tuan rumah untuk meraih tiga mata penuh.
Skuad The Cats terus mengasak dan berjaya menemui gol kemenangan pada minit ke-79 hasil jaringan Jerome Mpacko Etame, sekali gus melengkapkan kebangkitan dramatik pasukan itu.
Kemenangan itu membolehkan Kuching City FC mengutip tiga mata penting di laman sendiri manakala Terengganu FC pulang hampa dengan keputusan 2-1 kekal hingga wisel penamat.
-- BERNAMA