Skip to main content

Sukan

Kejohanan B-17 ASEAN: Vietnam ungguli final, tewaskan Malaysia 3-0

Kejohanan B-17 ASEAN: Vietnam Ungguli Final, Tewaskan Malaysia 3-0 -- FB Football Association of Malaysia
Malaysia tewas 0-3 kepada Vietnam pada aksi final Kejohanan B-17 ASEAN pada Jumaat. - Facebook FAM

KUALA LUMPUR: Hasrat skuad bola sepak Bawah 17 Tahun (B-17) negara untuk membalas dendam ke atas Vietnam tidak kesampaian apabila tewas 0-3 pada aksi final Kejohanan B-17 ASEAN semalam.

Pada perlawanan berlangsung di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, Indonesia itu, Malaysia yang tewas kepada lawan sama di peringkat kumpulan, gagal menyaingi keampuhan Vietnam yang tampil lebih tersusun daripada awal hingga wisel penamat.

Vietnam membuka jaringan seawal minit ke-11 menerusi Quy Vuong Dao yang memanfaatkan kekacauan dalam kotak penalti Malaysia, dikawal Adam Nurfakrullah Mohd Fadli.

Skuad Malaysia B-17 dikendali Muhammad Shukor Adan hampir menyamakan kedudukan sembilan minit kemudian menerusi Nur Azam Muslim Nor Hisham, namun percubaan dilakukan melepasi bahagian tepi gawang Vietnam.

Van Duong Nguyen kemudian menggandakan kelebihan Vietnam B-17 menerusi jaringan pada masa kecederaan separuh masa pertama, sekali gus mengukuhkan kedudukan pasukan kendalian Cristiano Roland itu.

Bersambung pada babak kedua, Tri Dung Tran berjaya melepasi perangkap ofsaid sebelum melakukan umpanan kepada Van Duong untuk gol ketiga Vietnam pada minit ke-55, sekali gus menutup impian Malaysia untuk bergelar juara.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video