Skip to main content

Bisnes

Porsche jual keseluruhan pegangan saham dalam Bugatti

A Porsche logo is displayed during the New York International Auto Show in New York City, U.S., April 1, 2026. REUTERS/Jeenah Moon
Porsche dilaporkan berdepan tempoh sukar sejak kebelakangan ini berikutan prestasi perniagaan di China yang terbantut, selain dasar tarif AS yang melibatkan kos yang tinggi. - REUTERS

STUTTGART: Pengeluar kereta Jerman, Porsche, mengumumkan penarikan diri daripada pengeluar kereta sport mewah Bugatti, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Kesemua 45 peratus pegangan sahamnya dalam syarikat usaha sama Bugatti Rimac akan dijual kepada sebuah konsortium yang diketuai oleh firma ekuiti swasta HOF Capital, menurut pengumuman pihak terlibat pada Jumaat.

Bagaimanapun, kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan masih belum diperoleh.

Sebagai sebahagian daripada langkah itu, Porsche turut melupuskan pegangannya dalam Rimac Group. Sebelum ini, Porsche memiliki 20.6 peratus saham dalam syarikat pakar kereta sport elektrik Croatia itu.

Konsortium yang bakal mengambil alih pegangan itu merangkumi BlueFive Capital dari Abu Dhabi sebagai pelabur terbesar, serta pelabur institusi dari Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).

Porsche, Rimac, dan kumpulan pembeli berkenaan enggan mengulas mengenai harga pembelian itu.

Langkah ini menandakan Kumpulan VW akan keluar sepenuhnya daripada Bugatti. Volkswagen memperoleh hak ke atas jenama mewah Perancis yang berprestij itu pada tahun 1998 dan menghidupkannya semula.

Pada 2021, kumpulan itu menyerahkan pegangan majoriti kepada usaha sama berkenaan, manakala anak syarikat VW, Porsche, telah memegang saham dalam Rimac sejak 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif baharu Porsche, Michael Leiters, sebelum ini telah mengumumkan penyusunan semula menyeluruh terhadap pengeluar kereta sport dan kenderaan utiliti lasak (SUV) itu yang kini dilanda krisis pada Mac lepas.

Beliau berkata penjualan pegangan dalam Bugatti menunjukkan matlamat Porsche untuk memberikan fokus sepenuhnya kepada perniagaan terasnya.

Porsche dilaporkan berdepan tempoh sukar sejak kebelakangan ini berikutan prestasi perniagaan di China yang terbantut, selain dasar tarif AS yang melibatkan kos yang tinggi.

Selain itu, model elektrik Porsche didapati kurang mendapat sambutan berbanding jangkaan asal, menyebabkan syarikat itu mengubah strateginya dengan memberi tumpuan semula kepada kenderaan enjin pembakaran dalaman melibatkan kos sekitar €2.4 bilion (US$2.8 bilion).

-- BERNAMA-dpa 

 

 

 

Must Watch Video