GOL tunggal Matheus Cunha sudah memadai buat Manchester United membawa pulang tiga mata berharga selepas menewaskan Chelsea 1-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge awal pagi Ahad.
Penyerang Brazil itu meledak gol kemenangan pada minit ke-43 separuh masa pertama hasil hantaran Bruno Fernandes, sekali gus menutup ruang kebangkitan tuan rumah yang tampil lebih dominan dari segi penguasaan bola tetapi tumpul di hadapan gawang.
Chelsea yang dibimbing Liam Rosenior tidak bernasib baik apabila beberapa percubaan mereka sekadar menggegarkan palang dan tiang gol, termasuk menerusi Liam Delap dan Wesley Fofana, sementara percubaan lain gagal menewaskan penjaga gol United, Senne Lammens.
Kejayaan ini mengukuhkan kedudukan skuad kendalian Michael Carrick dalam kelompok teratas liga dan meningkatkan peluang United untuk mengesahkan tiket ke Liga Juara-Juara musim depan, selain melengkapkan kemenangan ‘double’ liga ke atas Chelsea musim ini.
Sebaliknya, kekalahan keempat berturut-turut tanpa jaringan menyaksikan Chelsea terus dihimpit tekanan, dengan sorakan kecewa kedengaran dalam kalangan penyokong tuan rumah sebaik wisel penamat ditiup.