KUALA LUMPUR: Atlet boling negara, Timmy Tan mempamerkan prestasi mengagumkan untuk mara ke final stepladder dalam kejohanan Persatuan Pemain Boling Profesional (PBA) Indiana Classic hari ini (Jumaat, waktu Amerika Syarikat).
Bersaing di David Small’s Pro Bowl West, pemain berusia 31 tahun itu menamatkan pusingan kelayakan di tempat ketiga selepas melakukan 8,689 jatuhan pin dalam 36 permainan.
Boog Krol mendahului pusingan kelayakan dengan 8,765 jatuhan pin, diikuti Marshall Kent di tempat kedua dengan jatuhan pin 8,741.
Ryan Barnes di tempat keempat dengan 8,678 jatuhan pin, manakala EJ Tackett melengkapkan kelompok lima terbaik dengan 8,661 jatuhan pin.
Mengulas mengenai prestasinya, Timmy berkata beberapa pelarasan yang dilakukan dalam permainan terbukti berkesan sepanjang peringkat kelayakan.
Beliau berharap mampu merangkul gelaran sulongnya dalam Jelajah PBA, yang bakal menjadi kejayaan kedua buat Malaysia selepas kejayaan bersejarah Tun Hakim Tun Hasnul Azam tahun lepas.
“Sudah tentu, saya benar-benar mahu menang, dan ia akan menjadi satu pencapaian hebat untuk negara,” katanya dalam sebuah video yang dikongsi oleh PBA hari ini.
Di peringkat final stepladder esok, Timmy akan berdepan sama ada Barnes atau Tackett, yang akan bertemu dalam perlawanan pembukaan.
-- BERNAMA