Skip to main content

Sukan

Bayern mampu lolos ke final UCL

FOTO Agensi
Pemain Bayern menjalani latihan menjelang aksi separuh akhir kedua UCL menentang PSG di laman sendiri. - Foto Agensi/Sinar Harian

MENJELANG aksi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara (UCL) antara Bayern Munich dan Paris Saint-Germain (PSG), legenda Jerman, Lothar Matthaus menyifatkan Bayern memiliki kelebihan penting terutama dari aspek fizikal untuk melangkah ke pentas final.

Selepas aksi pertama yang menyaksikan Bayern tewas 4-5 di Paris, Matthaus berpendapat peluang kedua-dua pasukan masih terbuka, namun beliau percaya bekas kelabnya itu menunjukkan peningkatan ketara khususnya pada penghujung perlawanan.

“Saya lihat Bayern lebih dominan terutama pada 20 hingga 25 minit terakhir. Jika mereka lebih kemas dalam penyudah serangan, mereka tidak perlu tewas dalam perlawanan itu.

“Secara fizikal, mereka juga lebih kuat berbanding PSG,” katanya.

Beliau turut menegaskan kemampuan Bayern bertahan dalam keadaan tekanan tinggi menjadi antara faktor utama yang membezakan kedua-dua pasukan.

“Saya bukan bercakap kerana sentimen tetapi berdasarkan apa yang saya lihat sepanjang musim ini, Bayern kelihatan lebih stabil,” jelasnya.

Matthaus turut memuji kebangkitan Bayern selepas ketinggalan 2-5, apabila mereka kembali mengimbangi permainan dan memastikan perlawanan kekal terbuka sehingga wisel penamat.

Bagi aksi timbal balik di Allianz Arena awal pagi nanti (3 pagi waktu Malaysia), beliau meramalkan bahawa Bayern mampu melangkah ke final.

“Saya percaya Bayern akan memenangi perlawanan ini dan layak ke final di Budapest,” katanya. - Sinar Harian

 

Must Watch Video