KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak akan mengambil tindakan terburu-buru susulan prestasi hambar skuad negara pada saingan pusingan akhir Piala Thomas di Horsens, Denmark, minggu lepas.
Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh berkata badan induk itu kekal berpegang kepada pelan hala tuju jangka panjang yang telah dirangka dengan sasaran utama menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).
“Kita tidak seharusnya memberi reaksi tanpa berfikir setiap kali kalah dalam sesuatu kejohanan. Kita sudah ada pelan hala tuju ke LA2028, yang mana terdapat beberapa pencapaian yang perlu dicapai dalam setiap kejohanan disertai.
“Selagi kita berada dalam landasan pelan hala tuju itu dan mencapai petanda yang ditetapkan, bermakna kita berada di landasan yang betul,” katanya kepada pemberita selepas sidang media Kejohanan Badminton Masters Malaysia di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini, hari ini.
Pada Piala Thomas, skuad negara tewas kepada juara bertahan China 0-3 pada peringkat suku akhir.
Dalam perkembangan lain, Kenny berkata BAM terbuka untuk membenarkan pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia, menjalani sesi latihan di ABM.
Beliau berkata secara dasarnya tiada halangan untuk pemain berkenaan menggunakan fasiliti di akademi itu, namun beberapa perkara perlu diperincikan terlebih dahulu.
“Kita cuma perlu memperkemaskan beberapa perkara, antaranya mendapatkan kelulusan daripada Ahli Majlis. Ini juga bukan perkara baharu kerana sebelum ini kita pernah menjemput beliau untuk menjalani latihan bersama,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Zii Jia terbuka untuk menyertai sesi latihan dan perlawanan secara berkala di ABM, namun perkara itu masih di peringkat perbincangan kerana melibatkan beberapa peraturan badan induk.
Mengulas lanjut, Kenny berkata BAM akan meneliti program latihan Zii Jia terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat, termasuk penentuan kumpulan latihan.
“Kita perlu lihat program latihannya dahulu, sama ada dia akan berlatih bersama pemain elit atau pemain pelapis. Perkara ini akan diperkemaskan oleh Jawatankuasa Prestasi,” katanya.
-- BERNAMA