PEMEGANG rekod 100 meter (m) lelaki negara, Muhammad Azeem Fahmi, tidak bercadang untuk memecah rekod peribadi terbaiknya pada Kejohanan Olahraga Jemputan Yellow Jacket di Atlanta, 20 dan 21 Mac ini.
Ini kerana perbincangannya bersama jurulatihnya, Ken Harden, lebih fokus kepada mencapai tahap terbaik dalam temasya penting akan datang seperti Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun ini.
"Saya tidak boleh jangka dalam kejohanan mana saya akan betul-betul bagus dan memecahkan rekod.
"Tapi, paling penting adalah fokus tentang pelan asal dan bersabar.
"Saya menyasarkan untuk menumpukan sepenuh perhatian dalam dua temasya itu.
"Saya mahu mengulangi pencapaian layak ke final dan berada di atas podium," katanya.
Menjelang perayaan Aidilfiri kali ini, pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou itu berharap 2026 menjadi tahun terakhirnya beraya di perantauan, selepas sudah beberapa tahun menyambung pengajian di Amerika Syarikat (AS).
Menurutnya, tiada lemang, tiada kuih raya dan sambutan sederhana memandangkan dia akan bertanding pada raya pertama.
"Saya pun sudah lupa rasa rendang.
"Sudah lama tidak menikmati juadah raya.
"Tiada komuniti Malaysia terdekat di sini.
"Ini tahun terakhir. Saya akan memberikan segalanya, jadi saya terpaksa melupakan perkara itu seketika," katanya lagi.
- Artikel asal disiarkan di StadiumAstro.com