Skip to main content

Sukan

Atlet bina badan terhimpit kemelut MBBF

KEMELUT melanda Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) susulan penggantungan presidennya oleh Persekutuan Sukan Bina Badan dan Fizik Dunia (WBPF), kini mencetuskan kegusaran dalam kalangan atlet bina badan kebangsaan_Sinar Harian
Laporan Sukan Sinar pada 15 Mac lalu.

KEMELUT melanda Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) susulan penggantungan presidennya oleh Persekutuan Sukan Bina Badan dan Fizik Dunia (WBPF), kini mencetuskan kegusaran dalam kalangan atlet bina badan kebangsaan.

Hasil tinjauan mendapati beberapa atlet mula berasa resah apabila tiada sebarang maklum balas rasmi daripada pihak persatuan berhubung tindakan penggantungan tersebut.

Seorang sumber mendakwa ketiadaan penjelasan terperinci daripada kepimpinan MBBF menyebabkan atlet berada dalam keadaan tidak pasti, khususnya berkaitan hala tuju kerjaya di peringkat antarabangsa.

“Isu ini bukan kecil kerana ia melibatkan badan induk dunia. Tetapi sehingga kini, tiada komunikasi rasmi kepada atlet. Kami tertanya-tanya apa langkah seterusnya,” katanya.

Dakwanya lagi, kelemahan pengurusan serta ketiadaan perancangan yang jelas turut menambah kebimbangan dalam kalangan atlet, terutama apabila mereka terpaksa bergerak sendiri tanpa sokongan mencukupi.

“Dalam banyak keadaan, atlet perlu mencari dana sendiri untuk menampung kos latihan, pemakanan dan penyertaan ke kejohanan luar negara.

“Apabila timbul krisis seperti ini, tekanan semakin dirasai kerana masa depan kami banyak bergantung kepada kestabilan persatuan,” katanya.

Lebih membimbangkan, sumber itu turut mendedahkan bahawa tiada sesi libat urus diadakan antara pihak persatuan dan atlet bagi mendapatkan pandangan atau maklum balas berhubung isu semasa.

Katanya, keadaan itu memberi gambaran jurang komunikasi yang ketara antara pengurusan dan barisan atlet.

Terdahulu, WBPF menggantung Presiden MBBF, Karim Abdullah berkuat kuasa 7 Mac selepas didakwa gagal mematuhi perjanjian sebagai tuan rumah Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Asia ke-58 serta Kongres Tahunan yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur, Ogos depan.

Perkembangan itu menimbulkan persoalan besar sama ada kemelut pentadbiran berkenaan akan menjejaskan peluang atlet negara untuk terus bersaing di pentas antarabangsa. - Sinar Harian

 

Must Watch Video