Skip to main content

Sukan

All England 2026: Dua beregu campuran negara pulang awal

BERNAMA
Hasrat dua beregu campuran negara untuk melangkah lebih jauh dalam saingan All England 2026 tidak kesampaian apabila kedua-duanya tersingkir seawal pusingan pertama di Utilita Arena Birmingham, pada Selasa.

KUALA LUMPUR: Hasrat dua beregu campuran negara untuk melangkah lebih jauh dalam saingan All England 2026 tidak kesampaian apabila kedua-duanya tersingkir seawal pusingan pertama di Utilita Arena Birmingham, pada Selasa.

Pasangan profesional negara, Jimmy Wong-Lai Pei Jing yang membuka tirai cabaran Malaysia terpaksa akur dengan kehebatan beregu Taiwan, Ye Hong Wei-Nicole Gonzales Chan selepas tewas 17-21, 18-21 dalam tempoh 36 minit.

Kekalahan itu merupakan yang kedua buat Jimmy-Pei Jing kepada pasangan sama selepas tumpas pada Masters Jepun 2025.

Turut menerima nasib sama ialah satu lagi beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang tewas buat kali kedua berturut-turut dalam tiga pertemuan kepada gandingan India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto.

Dalam perlawanan yang berlangsung selama 41 minit itu, pasangan ranking ke-23 dunia berkenaan bermula dengan baik, namun gagal mengekalkan konsistensi sebelum tunduk 17-21, 19-21.

Sementara itu, tumpuan kini terarah kepada empat lagi wakil Malaysia yang akan memulakan kempen masing-masing awal pagi esok waktu Malaysia iaitu beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei; beregu lelaki negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi serta perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao.

Kejohanan All England 2026 dijadual berlangsung sehingga Ahad ini.

-- BERNAMA

Must Watch Video