Skip to main content

Sukan

ACLE 2025/2026: Munoz seru pemain kekalkan momentum menjelang aksi timbal balik

ISKANDAR PUTERI, 3 Mac -- Ketua jurulatih JDT Xisco Munoz pada sidang media menjelang aksi pertama pusingan 16 ACLE menentang Sanfrecce Hiroshima di Stadium Sultan Ibrahim hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
MUNOZ: Kami berdepan lawan yang kuat dan penting untuk pemain berehat serta cergas sepenuhnya bagi menghadapi perlawanan berikutnya. - Gambar fail/BERNAMA

ISKANDAR PUTERI: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT) Xisco Munoz mahu pemain mengekalkan momentum serta beraksi pada intensiti tinggi pada perlawanan timbal balik pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2025/2026 menentang Sanfrecce Hiroshima.

Beliau berkata perlawanan di Edion Peace Wing Hiroshima pada 11 Mac nanti adalah penting bagi memastikan Harimau Selatan mara ke suku akhir.

“Kami berdepan lawan yang kuat dan penting untuk pemain berehat serta cergas sepenuhnya bagi menghadapi perlawanan berikutnya,” katanya pada sidang media pascaperlawanan malam tadi.

Munoz turut memuji anak buahnya yang mempamerkan aksi berkualiti tinggi sekali gus berjaya menewaskan wakil Jepun itu 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim.

“Kemenangan ini satu pencapaian besar bukan sahaja untuk kelab, tetapi juga untuk negara kerana penting untuk menampilkan prestasi pada tahap tertinggi. Namun, kami perlu terus mengekalkan momentum cemerlang ini,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Sanfrecce Hiroshima Bartosch Paul Gauli menggesa pasukannya untuk bangkit pada perlawanan kedua nanti.

Mengakui intensiti dan kualiti lawan, beliau berkata pasukannya sudah menjangkakan cabaran sengit, namun yakin mampu mempamerkan aksi lebih baik apabila menerima kunjungan JDT di laman sendiri.

“Saya bangga dengan pasukan dan gembira kami berjaya menjaringkan satu gol kerana saya rasa ia boleh memberikan harapan untuk perlawanan berikutnya,” katanya.

JDT mencatat kemenangan 3-1 ke atas Sanfrecce Hiroshima menerusi Ager Aketxe Barrutia pada minit ke-52, Bergson Da Silva ('63) dan Marcos Guilherme ('84) manakala gol tunggal lawan diperoleh hasil jaringan gol sendiri Nene seminit kemudian.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video