Skip to main content

Malaysia

Kuih tempatan dan reka bentuk: Duta Itali temukan inspirasi dalam kehidupan seharian Malaysia

Duta Itali ke Malaysia Raffaele Langella
Langella menyifatkan Malaysia sebagai negara yang memberi ilham, selain melihat rakyat Malaysia sebagai aset terbesar negara. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kuih tradisional Malaysia yang digemari ramai, daripada onde-onde lembut berinti gula Melaka hingga kuih lapis yang berwarna-warni serta tersusun indah, bukan sekadar enak dinikmati.

Bagi Duta Itali ke Malaysia Raffaele Langella, kuih tradisional tempatan turut mencerminkan unsur reka bentuk dari segi bentuk dan fungsi, sekali gus menyerlahkan kehalusan identiti Malaysia menerusi gabungan harmoni rasa, estetika dan kreativiti.

“Kita meraikan reka bentuk Itali dan reka bentuk Malaysia. Cuba fikirkan tentang reka bentuk kuih-muih Malaysia, misalnya onde-onde atau kuih lapis, atau mana-mana kuih tempatan.

“Ia adalah reka bentuk yang sempurna, sangat menarik, berfungsi dan inovatif,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif sempena Hari Reka Bentuk Itali 2026, baru-baru ini.

Berasal dari Naples, bandar yang terkenal dengan warisan seni, reka bentuk dan seni bina, Langella berpandangan bahawa seni di sebalik kuih tempatan wajar dihargai dengan lebih mendalam, khususnya dalam cara kreativiti diterjemahkan kepada sesuatu yang bukan sahaja menyenangkan, malah bermakna.

Beliau berkata selain kuih tempatan, beliau juga semakin menggemari makanan tradisional Malaysia.

“Saya suka segala-galanya tentang makanan Malaysia. Saya amat menggemari makanan Peranakan, saya juga maksudkan semua makanan Malaysia, khususnya kuih-muih tempatan.

“Kita seharusnya meneliti dengan lebih mendalam bagaimana kuih-muih Malaysia menterjemahkan kreativiti menjadi kemanisan,” kata beliau.

Langella, yang memulakan tugas di Malaysia sejak September lepas, menegaskan komitmennya untuk meneruskan usaha memperkukuh hubungan dua hala yang pelbagai, terutama dalam bidang perdagangan dan perniagaan, kebudayaan, pendidikan serta reka bentuk.

Beliau menyifatkan Malaysia sebagai negara yang memberi ilham, selain melihat rakyat Malaysia sebagai aset terbesar negara.

“Rakyat Malaysia sememangnya aset paling penting yang boleh diharapkan negara ini.

“Dalam tempoh enam bulan, saya tidak pernah bertemu seseorang yang tiada apa-apa untuk diperkatakan. Setiap individu yang saya temui ada sesuatu yang dapat saya pelajari, dan perbualan dengan rakyat Malaysia sentiasa menarik serta menambah pengalaman,” katanya.

Mengenai reka bentuk, beliau berkata Itali, yang diiktiraf secara meluas sebagai antara peneraju dunia dalam bidang itu, terkenal dengan warisan kukuh dalam fesyen, reka bentuk perindustrian dan inovasi produk, sekali gus menawarkan potensi besar untuk kerjasama lebih mendalam dengan Malaysia.

“Bersama-sama, Malaysia dan Itali boleh berusaha menetapkan piawaian baharu serta meneroka sempadan baharu.

“Kita mempunyai banyak persamaan dan terdapat banyak peluang yang boleh diterokai bersama,” katanya sambil menambah bahawa Itali bersedia berkongsi kepakaran dengan rakan-rakan di Malaysia.

Hubungan dua hala antara Malaysia dan Itali, yang terjalin sejak 1957 berasaskan kerjasama ekonomi yang kukuh, hubungan diplomatik yang telah lama terjalin serta hubungan budaya.

Pada 2024, jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencecah US$3.18 bilion (RM14.61 bilion), meningkat dua peratus berbanding 2023.

Bagi tempoh Januari hingga Mei 2025, jumlah dagangan antara kedua-dua negara terus mencatat prestasi positif dengan peningkatan 3.3 peratus kepada US$1.48 bilion (RM6.5 bilion) berbanding tempoh sama pada 2024.

Sebanyak 150 syarikat Itali beroperasi di Malaysia, termasuk Leonardo, Maire-Tecnimont, Assicurazioni Generali, STMicroelectronics, Saipem, Mapei, Cementir, Alfagomma dan Maccaferri.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan rasmi ke Itali pada Julai tahun lepas atas jemputan rakan sejawatnya, Giorgia Meloni, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

-- BERNAMA

Must Watch Video