OTTAWA: Presiden Persatuan Bola Sepak Palestin Jibril Rajoub mengumumkan bahawa persatuan itu telah memfailkan rayuan rasmi kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dalam usaha menangani pelanggaran peraturan bola sepak antarabangsa oleh Israel, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).
Berucap pada Kongres FIFA ke-76 di Vancouver, Rajoub berkata rayuan itu dikemukakan pada 22 April dan persatuan itu akan meneruskan semua saluran undang-undang mengikut prosedur yang ditetapkan.
Beliau menegaskan bahawa matlamatnya bukan untuk konfrontasi, sebaliknya "memperbetulkan keadaan" dan memastikan pemakaian peraturan yang sama rata merentas semua ahli persatuan.
“Saya berdiri di hadapan anda dengan penuh rasa hormat terhadap kongres ini, statut FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) dan proses undang-undang sewajarnya,” kata Rajoub sambil menambah bahawa beliau berucap bagi pihak pemain, jurulatih, pengadil, dan belia Palestin yang telah lama menghadapi rintangan dalam mengakses serta mempraktikkan sukan itu.
Rajoub berkata FA Palestin secara konsisten menggesa penguatkuasaan peraturan FIFA yang saksama, terutamanya mengenai penyertaan kelab penempatan Israel dalam kejohanan anjuran FA Israel di atas tanah yang berada di bawah bidang kuasa FA Palestin tanpa persetujuannya.
Beliau mengingatkan bahawa isu itu telah dibangkitkan dalam kongres FIFA sebelum ini, termasuk yang ke-74 di Bangkok, dan Presiden FIFA Gianni Infantino sebelum ini menyifatkan perkara itu sebagai "mendesak." Bagaimanapun, kes itu kemudiannya dirujuk untuk prosedur lanjut tanpa sebarang keputusan muktamad dikeluarkan setakat ini.
Menurut Rajoub, penemuan oleh badan tatatertib FIFA menunjukkan "pelanggaran serius" terhadap peraturan berkaitan kesaksamaan, tanpa diskriminasi, dan tadbir urus. Beliau berkata kesimpulan ini dibuat oleh jawatankuasa FIFA sendiri dan bukan hanya oleh pihak Palestin.
Beliau juga menunjukkan percanggahan dalam pengendalian FIFA terhadap perkara itu, dengan menyatakan bahawa walaupun FA Israel didenda 150,000 franc Swiss di bawah peruntukan anti-diskriminasi, tiada tindakan tegas diambil berhubung aduan yang lebih luas.
Rajoub menegaskan bahawa FA Palestin tidak meminta keputusan politik, sebaliknya pemakaian statut FIFA, termasuk peruntukan berkaitan bidang kuasa wilayah. Beliau memberi amaran bahawa membenarkan kelab beroperasi di wilayah persatuan lain tanpa kebenaran boleh mewujudkan duluan yang menjejaskan persatuan ahli lain.
Beliau seterusnya membangkitkan kebimbangan mengenai amalan diskriminasi yang dikaitkan dengan aktiviti sukan di penempatan terbabit, memetik laporan oleh organisasi hak asasi manusia, dan berkata ketiadaan sekatan yang tegas berisiko menggugat keyakinan terhadap rangka kerja tadbir urus FIFA.
Beliau mengakhiri ucapannya dengan menekankan bahawa kredibiliti FIFA bukan sahaja bergantung kepada jangkauan globalnya, tetapi pada pematuhan kepada prinsip keadilan, kesaksamaan, dan penghormatan terhadap peraturan antarabangsa.
-- BERNAMA-WAFA