Skip to main content

Politik

UMNO buka pintu kepada bekas ahli Bersatu

KUALA LUMPUR, 2 Mei -- Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyampaikan ucapan pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WCTKL) hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Asyraf berkata, pendirian tersebut mencerminkan keterbukaan parti dalam menyatukan kembali kelompok yang pernah bersama perjuangan UMNO sebelum ini. - Gambar fail/ Bernama

KUALA LUMPUR: UMNO terus membuka ruang kepada mana-mana individu termasuk bekas pemimpin dan ahli Parti Pribumi Malaysia ( Bersatu ) yang ingin kembali menyertai parti itu tanpa sebarang syarat.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendirian tersebut mencerminkan keterbukaan parti dalam menyatukan kembali kelompok yang pernah bersama perjuangan UMNO sebelum ini.

Menurut beliau, UMNO sentiasa mengalu-alukan kepulangan mana-mana pihak yang mahu kembali bernaung di bawah parti berkenaan demi memperkukuh kekuatan orang Melayu dan institusi politik bangsa itu.

“Kembalilah ke Rumah Bangsa! UMNO sedia menerima sesiapa sahaja tanpa syarat, termasuk pemimpin dan ahli Bersatu yang dipecat atau digantung.

"Lagipun semuanya berasal dari rahim UMNO juga, bagaikan sirih pulang ke gagang.” katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Sabtu.

Asyraf turut memaklumkan sambutan terhadap sistem pendaftaran keahlian secara dalam talian amat memberangsangkan, dengan lebih 17,000 permohonan keahlian baharu direkodkan dalam tempoh kira-kira dua minggu selepas platform digital itu dilancarkan.

Tambah beliau, proses pendaftaran yang lebih mudah dan pantas membolehkan orang ramai menyertai UMNO tanpa perlu melalui prosedur rumit seperti sebelum ini.

“Sekarang sesiapa sahaja boleh daftar dalam tempoh hanya beberapa minit. Kita mahu memudahkan orang ramai terutama generasi muda mendekati UMNO,” katanya lagi.

Kenyataan itu hadir ketika Bersatu sedang berdepan tindakan disiplin dalaman membabitkan beberapa pemimpin parti berkenaan.

Terdahulu, Bersatu mengumumkan pemecatan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selain menggantung keahlian beberapa lagi pemimpin berkuat kuasa serta-merta.

Antara yang dikenakan tindakan ialah ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis yang dipecat daripada parti.

Notis tindakan disiplin itu dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Mohd Radzi Manan selepas keputusan dipersetujui kepimpinan parti.

Dalam masa sama, beberapa lagi pemimpin Bersatu turut dikenakan penggantungan hak keahlian bagi tempoh tertentu, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan berlaku penghijrahan ahli ke parti lain termasuk UMNO.

Must Watch Video