Skip to main content

Politik

UMNO 80 tahun: Banyak pihak cuba lagakan saya dengan Presiden - Tok Mat

KUALA LUMPUR, 2 Mei -- Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WCTKL) hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ahmad Zahid (kanan) bersama Mohamad pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WCTKL) hari ini. --fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamad Hasan mendakwa terdapat ramai pihak yang cuba melagakan beliau dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dalam usaha menggugat kestabilan parti itu.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden UMNO itu menegaskan beliau memilih untuk kekal setia kepada parti serta terus mendokong kepimpinan Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional.

Mohamad yang juga dikenali sebagai Tok Mat berkata, beliau menyedari wujud pelbagai usaha untuk menimbulkan perpecahan antara beliau dan presiden parti, namun memilih untuk tidak melayan perkara tersebut.

"Ramai pihak cuba melagakan Datuk Seri (Ahmad Zahid) dan juga saya, khususnya untuk menimbulkan perpecahan antara kami. Bukan sedikit jumlahnya, tetapi saya memilih untuk terus setia kepada parti dan mendokong kepimpinan Datuk Seri.

"Apa sahaja yang diperkatakan tentang Datuk Seri, saya pekakkan telinga dan butakan mata. Yang penting, kita terus menguatkan semangat dan tekad untuk bersama dalam parti yang kita dokong," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Pembukaan Konvensyen UMNO ke-80 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Berucap lanjut, Mohamad menegaskan, dalam saat sepenting sekarang, jangan ada anasir yang cuba mengadu domba dan melagakan ahli-ahli parti dan kepimpinan.

Beliau turut menegaskan bahawa kesetiaan dan perpaduan dalam parti adalah keutamaan ketika ini, terutama dalam menghadapi cabaran politik semasa.

Sehubungan itu, Mohamad menambah dalam menghadapi cabaran semasa, UMNO mesti memperkukuhkan
kesatuan parti, kembali kepada ideologi serta menjadikan Islam sebagai inspirasi perjuangan.

Ujar beliau lagi, UMNO adalah antara parti yang paling bersatu dan mantap di persada politik negara, sekali gus membuktikan parti itu kekal sebagai pelengkap dan pengimbang yang penting kepada kestabilan negara.
 

Must Watch Video