Skip to main content

Dunia

Pelaut India kongsi detik cemas terkandas di Iran ketika perang

The Epaminondas ship is seen during seizure by the Islamic Revolutionary Guard Corps (IRGC) in the Strait of Hormuz, Iran, in this image obtained by Reuters on April 24, 2026. Meysam Mirzadeh/Tasnim/WANA (West Asia News Agency) via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS PICTURE WAS PROVIDED BY A THIRD PARTY TPX IMAGES OF THE DAY
Kapal Epaminondas ketika dirampas oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) di Selat Hormuz, Iran. - Foto REUTERS

MUMBAI: Beberapa pelaut India yang pulang ke Mumbai pada Jumaat berkongsi pengalaman ngeri selepas terkandas di bandar pelabuhan Khorramshahr, Iran, ketika konflik perang melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel, menurut laporan agensi berita Asian News International (ANI).

Seorang pelaut, Ravi dari negeri Haryana, berkata mereka pada awalnya tidak menyedari berlakunya peperangan kerana ketiadaan akses internet.

“Kami terkandas di Iran dan langsung tidak tahu perang sedang berlaku. Suatu hari saya nampak peluru berpandu melintas di atas kepala,” katanya kepada Al Jazeera.

Seorang lagi pelaut, Anant Singh Chauhan dari Uttar Pradesh, menggambarkan keadaan yang disifatkannya sebagai amat berbahaya.

“Situasi sangat buruk dan kami nyaris tidak dapat menyelamatkan diri. Peluru berpandu jatuh dengan kerap dan mustahil untuk tidur. Anak kapal lain sudah beredar, hanya tinggal kami bertiga warga India,” katanya.

Susulan kejadian itu, Kesatuan Pelaut Hadapan India (FSUI) menggesa kerajaan di New Delhi mempergiat usaha pemindahan pelaut India yang masih terkandas di rantau berkenaan.

Setiausaha Agung FSUI, Manoj Kumar Yadav, menyifatkan keadaan itu sebagai “sangat serius” sambil mendakwa pelaut berdepan eksploitasi dan tekanan kewangan.

India merupakan antara tiga negara terbesar dunia dalam pembekalan tenaga kerja pelaut, dengan lebih 300,000 orang dalam sektor tersebut.

Kementerian Perkapalan India setakat ini telah memudahkan kepulangan kira-kira 2,680 pelaut India sejak konflik di Iran bermula.

Bagaimanapun, tiga pelaut India dilaporkan terkorban akibat perang tersebut.

Pada 18 April lalu, dua kapal berbendera India turut ditembak oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) ketika cuba melalui Selat Hormuz, menambah kebimbangan terhadap keselamatan perkapalan di laluan strategik itu.

 

Must Watch Video