BAGHDAD: Angkatan tentera Iraq menafikan laporan mengenai kewujudan pangkalan tentera asing tanpa kebenaran di negara itu, termasuk dakwaan mengenai kehadiran rahsia di kawasan gurun Karbala dan Najaf.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan di platform X, pihak tentera menjelaskan khabar angin tersebut berpunca daripada insiden pertempuran pada 5 Mac 2026 melibatkan pasukan keselamatan Iraq dan kumpulan bersenjata tidak dikenali yang beroperasi tanpa kebenaran.”
Menurut kenyataan itu, pasukan Iraq berjaya memaksa kumpulan berkenaan berundur walaupun didakwa mendapat sokongan udara.
Insiden tersebut mengorbankan seorang anggota tentera Iraq dan mencederakan dua yang lain.
Pihak tentera menegaskan bahawa pemeriksaan menyeluruh yang dijalankan oleh Komando Operasi Bersama mengesahkan tiada kehadiran pangkalan atau pasukan asing tanpa kebenaran sejak tarikh kejadian itu.
“Menyebarkan maklumat mengelirukan atau khabar angin berniat jahat boleh menjejaskan kedaulatan negara dan reputasi institusi keselamatan,” menurut kenyataan itu, sambil memberi amaran tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang terlibat.
Penafian tersebut dibuat susulan laporan media pada 9 Mei lalu yang mendakwa Israel telah menubuhkan pangkalan tentera rahsia di gurun Iraq bagi menyokong operasi serangan udara terhadap Iran.
Laporan itu turut menyebut kononnya Israel melancarkan serangan udara ke atas pasukan Iraq yang hampir menemui kemudahan tersebut pada peringkat awal konflik.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Iraq menegaskan dakwaan tersebut tidak berasas dan menegaskan komitmen mereka untuk mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang campur tangan asing.