Skip to main content

Politik

Tiada pertemuan sulit dengan Ahmad Yakob - Mustapa

71489922121_DSMustaphaMohamed.jpg
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed menafikan parti itu menjalinkan pakatan sulit  dan berbincang untuk mewujudkan kerjasama antara UMNO dan Pas dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Dakwaan itu katanya tidak berasas sama sekali.

“Saya tidak pernah berbincang dengan mana-mana pihak termasuk dengan Menteri Besar Kelantan. Kita hanya kerjasama dalam soal banjir, dalam pelaburan UTC ini semua untuk faedah rakyat Kelantan,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Pertandingan Pidato Piala YB Tok Pa anjuran persatuan Himpunan Siswazah Kelantan (HIMSAK) di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Pengkalan Chepa di sini,
hari ini.

Mustapa yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata demikian ketika diminta memberikan reaksi berhubung artikel seorang penganalisis politik Kelantan yang mendakwa terdapat perbincangan sulit antara Ahmad, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan beliau.

Dalam artikel berkenaan, penulis tersebut mempersoalkan mengapa Ahmad tidak memaklumkan kepada timbalannya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah  tentang pertemuan berkenaan.

Mustapa berkata UMNO Kelantan masih mengekalkan pendirian iaitu menawan kembali negeri itu dari tangan Pas pada pilihan raya akan datang.

UMNO Kelantan katanya tidak akan memberi laluan mudah kepada Pas Kelantan sekiranya berlaku pertandingan 3 penjuru.

UMNO juga akan tetap bertanding dan menumpukan kerusi yang boleh dimenangi.

Dalam masa yang sama, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri tidak menolak kemungkinan menubuhkan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bayangan daripada BN selepas ini.

Must Watch Video