DEWAN Undangan Negeri (DUN) Johor secara rasmi dibubarkan hari ini, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam satu sidang media khas di kediaman rasminya petang tadi berkata, pembubaran DUN itu dilakukan setelah menghadap dan mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Pembubaran itu juga, membolehkan pengundi berdaftar mempunyai kuasa untuk memilih kerajaan baharu dan memberi mandat kepada wakil rakyat di 56 kerusi yang ditandingi di negeri berkenaan.
Berikut lapan perkara yang berlaku selepas pembubaran DUN:
1. Notis pembubaran diserahkan kepada SPR
Selepas DUN dibubarkan, Speaker DUN akan menyerahkan notis rasmi pembubaran kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Notis itu menjadi asas kepada SPR untuk memulakan proses pilihan raya negeri.
2. Kerajaan negeri menjadi kerajaan sementara
Kerajaan negeri yang sedia ada akan berfungsi sebagai kerajaan sementara atau caretaker government.
Kerajaan sementara hanya boleh menjalankan urusan pentadbiran harian dan tidak dibenarkan membuat keputusan dasar baharu, meluluskan projek besar atau menandatangani kontrak utama sehingga kerajaan baharu dibentuk.
3. SPR mengadakan mesyuarat khas
SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh penting pilihan raya.
Antara perkara yang diputuskan ialah tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, tempoh berkempen, hari pengundian awal dan hari mengundi.
4. Writ pilihan raya dikeluarkan
SPR akan mengeluarkan writ pilihan raya kepada pegawai pengurus pilihan raya bagi setiap kawasan.
Writ itu mengandungi arahan rasmi untuk mengendalikan pilihan raya serta tarikh-tarikh yang telah ditetapkan.
5. Hari penamaan calon
Calon yang ingin bertanding perlu mengemukakan borang pencalonan dalam tempoh yang ditetapkan.
Mereka perlu memenuhi syarat kelayakan, mengemukakan pencadang dan penyokong serta membayar deposit pilihan raya sebelum pencalonan disahkan.
6. Tempoh berkempen bermula
Selepas senarai calon disahkan, tempoh kempen rasmi bermula.
Parti politik dan calon akan menggunakan pelbagai platform termasuk ceramah, media sosial, bahan kempen dan program turun padang untuk menarik sokongan pengundi.
7. Pengundian awal dan hari mengundi
SPR akan mengadakan pengundian awal untuk anggota tentera, polis serta kumpulan pengundi yang layak.
Pada hari mengundi, pengundi berdaftar akan memilih wakil rakyat masing-masing di pusat pengundian yang ditetapkan.
8. Keputusan pilihan raya dan pembentukan kerajaan baharu
Selepas proses pengundian tamat, undi akan dikira dan keputusan rasmi diumumkan oleh SPR.
Parti atau gabungan yang memperoleh majoriti kerusi DUN akan membentuk kerajaan negeri baharu dan mencalonkan Menteri Besar untuk mendapat perkenan pihak istana.
Sekiranya tiada parti memperoleh majoriti mudah, rundingan antara parti boleh diadakan bagi membentuk kerajaan gabungan.