KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, dipecat daripada parti itu berkuat kuasa hari ini.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan berkata, tindakan terhadap Hamzah diambil selepas beliau didapati melanggar perlembagaan parti.
“Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 berkuat kuasa mulai 13 Februari 2026 kerana tindakan beliau melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu,” katanya.
Pada masa sama, satu kenyataan Lembaga Disiplin pada Jumaat memaklumkan, Hamzah keputusan itu dibuat oleh lembaga itu yang bersidang semalam.
"Walaubagaimanapun pihak Datuk Seri (Hamzah) boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis ini," katanya.
Hamzah semalam dilaporkan tidak hadir selepas dipanggil hadir ke prosiding bersama Lembaga Disiplin parti itu yang dijadual berlangsung di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya.
Setiausaha Sulitnya, Ahmad Ikhwan Fadhli, memaklumkan Ahli Parlimen Larut itu kini berada di Sydney, Australia.
Beliau berkata, Hamzah berlepas ke Australia bagi menemani dan membantu urusan pendaftaran universiti anak perempuannya sebelum menerima notis pada 7 Februari lalu untuk hadir ke prosiding berkenaan.
Sebelum ini, pelbagai desakan daripada pemimpin parti itu mahu supaya Hamzah dipecat selepas didakwa menjadi dalang kepada gerakan menggesa pengunduran Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sementara itu, Bersatu turut memecat dua lagi Ahli Parlimen parti itu iaitu Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan dan Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob atas alasan sama.
Sementara itu, Lembaga Disiplin dalam satu kenyataan berasingan, berkata turut dipecat adalah Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang, yang sebelum ini digantung keahliannya dalam parti itu.
Bekas Ketua Armada Bersatu itu dipecat kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.