KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada Jumaat berkongsi gambar pertemuan beliau dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang berlangsung di Rusila, Terengganu.
Pertemuan itu turut dihadiri Menteri Besar Terengganu merangkap Naib Presiden Pas, Datuk Samsuri Mokhtar; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; serta Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohd Syahir Che Sulaiman.
Hamzah yang juga bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diiringi beberapa pimpinan kanan parti berkenaan, antaranya Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee; dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan.
“Alhamdulillah. Minum petang di Rusila. Allah SWT adalah sebaik-baik perancang,” kata Hamzah menerusi kapsyen hantaran tersebut.
Pertemuan itu berlangsung pada hari sama Bersatu mengambil tindakan disiplin dengan memecat 11 ahlinya termasuk Hamzah sendiri awal hari ini, satu langkah yang seolah memperlihatkan usaha penstrukturan semula dalaman parti tersebut ketika berdepan tekanan politik dan perbezaan pendirian dalam kalangan pimpinan.
Pemecatan 11 pemimpin Bersatu awal hari ini melibatkan gabungan wakil rakyat dan kepimpinan akar umbi parti.
Antara yang dipecat ialah tiga Ahli Parlimen, masing‑masing Fathul Huzir Ayob (Gerik), Kapten (B) Datuk Azahari Hasan (Padang Rengas) dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang). Turut terkesan ialah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang merupakan ADUN Sungai Manik, Perak.
Selain itu, tindakan disiplin turut melibatkan tujuh Ketua Bahagian Bersatu iaitu Mohd Hassundi Hamzah (Larut), Yunus Nurdin yang juga Setiausaha Bersatu Sabah (Libaran), Datuk Abdul Aziz Ismail (Dungun), Ahmad Nasir Mid (Selayang), Ahmad Ishak (Gopeng), Kamaruddin Majid (Telok Intan) dan Mohd Yunus Mohd Yusof (Tapah).
Kesemua mereka dipecat berkuat kuasa serta‑merta selepas Lembaga Disiplin Bersatu mendapati mereka melanggar peruntukan Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti, dengan pemecatan dibuat di bawah Fasal 22.5.
Bagaimanapun, notis pemecatan yang dikeluarkan turut menyatakan bahawa semua individu terbabit masih mempunyai ruang untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan Bersatu dalam tempoh 14 hari daripada tarikh notis dikeluarkan.
Dalam konteks Perikatan Nasional (PN), Pas kekal sebagai parti dominan dari segi kerusi Parlimen, manakala Bersatu berperanan sebagai rakan strategik utama dalam blok pembangkang. Hubungan kedua-dua parti sebelum ini dilihat stabil, namun perkembangan mutakhir dalam Bersatu mencetuskan perhatian terhadap keperluan penyelarasan politik yang lebih kukuh antara kepimpinan PN.
Pertemuan di Rusila itu juga berlaku ketika PN dilihat sedang menilai semula pendekatan dan strategi pembangkang, khususnya dalam menghadapi landskap politik semasa serta persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh mana-mana pihak sama ada pertemuan tersebut berkait secara langsung dengan keputusan disiplin Bersatu atau perbincangan strategik dalam PN, namun masa dan komposisi kehadiran pimpinan kanan kedua-dua parti menjadikan pertemuan itu signifikan dari sudut politik.