Skip to main content

Politik

Semua parti komponen Kerajaan Perpaduan nyata sokongan, terus bersama sehingga tamat penggal - Fahmi

KUALA LUMPUR, 20 Mei -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan MADANI bercakap pada sidang media mingguan yang diadakan di Angkasapuri hari ini.  —fotoBERNAMA(2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan MADANI bercakap pada sidang media mingguan yang diadakan di Angkasapuri hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA: Semua parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan khususnya Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyatakan komitmen untuk terus kekal bersama kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal pentadbiran. 

Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata perkara itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, pada Rabu. 

Menurutnya, komitmen itu dinyatakan pada Mesyuarat Kabinet, selepas Perdana Menteri menyentuh mengenai kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan lebih awal pada mesyuarat berkenaan. 

"Perdana Menteri menyatakan penghargaan terhadap komitmen semua rakan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya BN, GRS dan GPS yang menyatakan akan terus kekal menyokong dan bersama kerajaan sehingga tamat penggal pentadbiran. 

"Komitmen ini mencerminkan keutamaan yang diberikan terhadap kepentingan rakyat dan negara, sekali gus membolehkan kerajaan memberi tumpuan penuh kepada usaha menangani cabaran ekonomi susulan krisis di Asia Barat serta memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan di sini, pada Rabu. 

Dalam pada itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, mesyuarat Kabinet minggu depan akan diadakan pada Isnin.

Pada Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 di Johor Bahru Ahad lalu, Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH membayangkan kemungkinan membubarkan Parlimen untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) lebih awal jika rakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan terus bertindak menggugat kestabilan politik di negara ini.

 

Must Watch Video

Advertisement