PARIS: Perancis memohon satu mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) diadakan susulan perkembangan operasi ketenteraan Israel di selatan Lubnan.
Menteri Luar Perancis Jean-Noel Barrot berkata langkah itu diambil selepas Israel dilaporkan memperluaskan operasi darat termasuk di kawasan Istana Beaufort, lapor Al Jazeera.
Menurut beliau, Perancis mengiktiraf hak Israel untuk mempertahankan diri, namun menegaskan operasi yang diperluaskan itu tidak wajar.
“Saya telah meminta mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB kerana, walaupun kami mengiktiraf hak Israel untuk mempertahankan diri, tiada justifikasi bagi peluasan operasi ketenteraan di Lubnan,” katanya dalam wawancara dengan saluran BFMTV.
Beliau berkata perkembangan tersebut menimbulkan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan di wilayah berkenaan.
Langkah diplomatik Perancis itu dibuat susulan laporan bahawa operasi tentera Israel melibatkan pergerakan melintasi Sungai Litani.
Setakat ini, pihak White House dan wakil Israel di PBB belum mengeluarkan sebarang maklum balas rasmi berhubung permohonan tersebut.