KUCHING: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas perahu dinaiki bersama lapan individu lain terbalik di Sungai Banting berhampiran Rumah Charang, Lingga tengah hari tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan mangsa dikenali sebagai Gerald Lansam, 42, masih belum ditemukan setakat ini.
Menurut kenyataan itu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.15 tengah hari sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman digerakkan ke lokasi.
“Sebaik tiba di lokasi pada 2.45 petang, pasukan bomba dimaklumkan perahu yang dinaiki sembilan individu mengalami kerosakan enjin sebelum hanyut dan melanggar tiang jambatan.
“Perlanggaran itu menyebabkan bahagian hadapan perahu pecah sebelum perahu berkenaan terbalik akibat arus deras. Lapan mangsa berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung menggunakan perahu,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan mangsa dilaporkan sempat berpaut pada tiang jambatan selepas kejadian itu sebelum dilihat tenggelam dan dihanyutkan arus ketika penduduk kampung cuba menghampirinya untuk memberikan bantuan.
Menurut kenyataan itu, operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan oleh anggota bomba bersama penduduk kampung yang melakukan pencarian di permukaan air menggunakan perahu di kawasan mangsa kali terakhir dilihat.
-- BERNAMA