ISTANBUL: Setiausaha Tenaga Amerika Syarikat (AS) Chris Wright pada Jumaat berkata Selat Hormuz dijangka dibuka semula “selewat-lewatnya pada musim panas ini”, sambil memberi amaran bahawa tentera AS boleh campur tangan jika Iran terus mengganggu laluan trafik di perairan strategik itu, lapor Anadolu Ajansi memetik CNBC.
Bercakap kepada CNBC dari sebuah terminal gas asli cecair (LNG) di Cameron, Louisiana, Wright berkata perjanjian diplomatik dengan Iran mungkin dicapai “dalam beberapa hari akan datang”, meskipun terdapat ketegangan berhubung gencatan senjata AS-Iran yang rapuh, yang diusahakan Pakistan pada 8 April dan kemudiannya dilanjutkan Presiden AS Donald Trump.
“Jika Iran terus menjadikan ekonomi dunia sebagai tebusan, tentera AS akan memaksa pembukaan semula Selat Hormuz, namun ia bukan sesuatu yang mudah dilakukan,” kata Wright.
Beliau berkata rundingan kekal sebagai pilihan utama.
Kenyataan itu dibuat ketika Persatuan Automobil Amerika (AAA) melaporkan harga purata petrol nasional AS pada Jumaat berada pada AS$4.53 segelen, ketika perbahasan politik kembali tercetus berhubung cadangan Trump untuk menggantung cukai petrol persekutuan.
Wright turut berkata eksport LNG AS sedang ditingkatkan bagi membantu mengimbangi gangguan bekalan yang dikaitkan dengan krisis Hormuz.
-- BERNAMA-ANADOLU