Skip to main content

Politik

PKR Sabah anjur mini konvensyen

KOTA KINABALU, 15 Mac -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama para penyokong Parti Keadilan Rakyat ketika merasmikan Konvensyen Keadilan dan Perasmian Mesyuarat Agong Tahunan Cabang (MATC) Peringkat negeri Sabah di sebuah hotel hari ini._BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama para penyokong PKR ketika merasmikan Konvensyen Keadilan dan Perasmian Mesyuarat Agong Tahunan Cabang (MATC) Peringkat negeri Sabah hari ini. - Foto Bernama

KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah hari ini menganjurkan mini konvensyen dalam usaha parti itu memperkukuh jentera pada peringkat akar umbi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud berkata mini konvensyen berkenaan juga bertujuan mengumpulkan pimpinan, selain menyuntik semangat dalam kalangan ahli  yang ketika ini dianggarkan kira-kira 150,000 orang.

“Selepas ini kita akan bergerak untuk mengadakan mesyuarat agung pada setiap cabang sebelum mengadakan kongres parti pada Jun nanti,” katanya selepas menghadiri program Mini Konvensyen Keadilan  dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang peringkat negeri, di sini hari ini.

Mini konvensyen itu dirasmikan Presiden PKR yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) berkata pada masa sama, Anwar turut mengingatkan jentera parti supaya lebih mendalami isu kritikal berkaitan Sabah termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan tuntutan hasil negeri sebanyak 40 peratus bagi memudahkan penjelasan diberikan kepada rakyat.

Dalam perkembangan lain, mengenai sama ada akan bertanding di kerusi Parlimen Sepanggar pada PRU16 beliau berkata: "Jika presiden (Anwar) membenarkan, insya-Allah saya masih berminat untuk bertanding di Sepanggar. Kita sedia berjuang dan akhirnya rakyat yang akan menentukan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video