JOHOR BAHRU: UMNO Johor mendakwa bantahan PKR terhadap cadangan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan di negeri itu mencerminkan pendirian yang tidak konsisten.
Ketua Penerangannya Md Israk Abdullah berkata, kenyataan Pengerusi PKR Johor Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa yang menolak cadangan tersebut bercanggah dengan sikap PKR dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang menerima mekanisme sama di beberapa negeri lain.
Menurutnya, ketika pelaksanaan ADUN lantikan diterima dalam kerangka sedia ada di Sabah dan Pahang, pendekatan itu dianggap demokratik dan progresif oleh PH.
“Namun apabila Johor mempertimbangkan langkah sama demi kepentingan negeri, ia pula dituduh mencemarkan demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Cadangan pelantikan ADUN lantikan dikemukakan susulan rancangan Kerajaan Negeri Johor untuk meminda Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor bagi membolehkan pelantikan sehingga lima ADUN tambahan tanpa melalui proses pilihan raya.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menjelaskan, langkah itu bertujuan memperluas penyertaan dalam DUN, termasuk melibatkan golongan profesional dan individu berpengalaman bagi memperkukuh proses penggubalan dasar negeri.
Menurutnya, cadangan tersebut dibuat selaras dengan peruntukan Perlembagaan negeri dan mendapat perkenan Istana Johor, selain tidak bertujuan kepentingan politik semata-mata.
Bagaimanapun, Dr Zaliha, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), menyuarakan kebimbangan bahawa cadangan berkenaan berpotensi menjejaskan prinsip demokrasi berperwakilan.
Katanya, pengenalan wakil yang tidak dipilih melalui pilihan raya tetapi mempunyai hak mengundi setara dengan ADUN yang dipilih rakyat, menimbulkan persoalan terhadap legitimasi mandat demokratik.
“Sebarang perubahan kepada komposisi Dewan Negeri perlu dilaksanakan dengan penuh kebertanggungjawaban serta mengambil kira implikasi jangka panjang terhadap keseimbangan kuasa dan integriti institusi legislatif,” katanya dalam satu kenyataan susulan.
Dr Zaliha turut menyatakan bahawa ketiadaan garis panduan yang jelas berhubung kelayakan, peranan dan kriteria pelantikan boleh mencetuskan persepsi bahawa pelantikan dibuat tanpa asas merit yang telus.
Sehubungan itu, PKR Johor menggesa kerajaan negeri menangguhkan cadangan berkenaan bagi memberi ruang kepada proses libat urus menyeluruh dan inklusif.
Md Israk bagaimanapun menegaskan, PKR pernah menerima kehadiran ADUN lantikan di Sabah dan Pahang, manakala DAP pernah menyokong pelaksanaan kuota wanita bagi ADUN lantikan di Sabah.
Justeru, beliau mempersoalkan, mengapa cadangan sama di Johor dijadikan isu politik.
Beliau berkata cadangan itu bertujuan memperkukuh institusi legislatif negeri, membuka ruang kepada kepakaran profesional serta memastikan kestabilan pentadbiran.
“PKR Johor boleh berbeza pendapat, tetapi jangan bersikap dwistandard. Jangan apabila PH buat, ia dianggap reformasi, tetapi apabila Johor buat, ia dianggap salah,” tegasnya lagi.