KUALA LUMPUR: Tiga ketua bahagian Bersatu di Johor iaitu Mersing, Pasir Gudang dan Tenggara mendakwa nama mereka digunakan tanpa kebenaran dalam satu memorandum mendesak pemecatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ketua Bahagian Bersatu Mersing, Abdul Halim Abu Bakar berkata pada 10 Februari lalu, beliau ada berjumpa Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.
"Saya minum petang bersama beliau yang turut disertai Ketua Srikandi Bahagian, Setiausaha Bahagian dan Ketua Penerangan Bahagian.
"Dalam perjumpaan itu, Datuk Sahruddin ada meminta saya selaku Ketua Bahagian agar bersetuju menyokong kepimpinan Presiden namun saya mengambil sikap berdiam diri.
"Ingin saya tegaskan bahawa dalam perjumpaan tersebut tidak timbul langsung isu berkenaan cadangan memorandum pemecatan Timbalan Presiden," ujar Abdul Halim menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, memorandum berkenaan merupakan satu fitnah dan telah mengaibkan dirinya selaku Ketua Bahagian Mersing dalam krisis kepimpinan yang melibatkan Presiden dan Timbalan Presiden.
Dalam pada itu, Ketua Bahagian Bersatu Pengerang, Mohd Faizal Asmar turut memberikan perkembangan mengenai situasi politik Bersatu di Johor yang digambarkan ketika ini berpecah.
"Ini situasinya di Johor, empat belas daripada 26 ketua bahagian Bersatu berpihak kepada Hamzah, kami menolak kepimpinan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Selain Ketua Bahagian Mersing, Farid Razak (Pasir Gudang) dan Adil Ahmad (Tenggara) masing-masing juga tidak pernah dirujuk atau memberikan persetujuan untuk disenaraikan sebagai antara penyokong dokumen berkenaan.
"Mereka mungkin pernah ada perjumpaan dengan Datuk Dr Sahruddin Jamal, tetapi tidak pernah timbul perbincangan untuk sepakat mengeluarkan memorandum tersebut.
"Ini adalah satu ralat, tiada diskusi, tiada mesyuarat, tiba-tiba nama dipetik masuk memorandum. Ini angka sokongan yang digembar-gemburkan, sedangkan ada antaranya mengambil pendirian berbeza," jelas Faizal ketika dihubungi Astro AWANI, pada Jumaat.
Pada Khamis, satu memorandum yang ditandatangani 17 pemimpin Bersatu di Johor terdiri daripada ketua bahagian, pimpinan negeri serta wakil sayap parti menggesa kuasa perlembagaan digunakan untuk memecat Hamzah Zainudin.
Dalam dokumen itu, Hamzah didakwa mencabar kewibawaan institusi Presiden dan menimbulkan persepsi negatif terhadap parti di mata rakyat.
Dalam perkembangan terkini pada Jumaat, Hamzah sah dipecat keahlian parti berkuat kuasa serta-merta kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Parti.
Pada masa sama, Lembaga Disiplin Bersatu turut memecat dua lagi ahli dari parti itu iaitu Kapten Azahari Hasan (Ahli Parlimen Padang Rengas) dan Fathul Huzir Ayob (Ahli Parlimen Gerik) atas alasan sama.