Skip to main content

Politik

MIC kekal relevan, wadah penting pelihara keharmonian kaum - Vigneswaran

IPOH, 31 Mei -- Presiden MIC Tan Sri S. A. Vigneswaran bercakap kepada media ketika merasmikan Sambutan Hari Keluarga MIC Sempena Ulang Tahun MIC Ke-80 di sini hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Presiden MIC Tan Sri S. A. Vigneswaran bercakap kepada media ketika merasmikan Sambutan Hari Keluarga MIC Sempena Ulang Tahun MIC Ke-80 di sini hari ini. - Foto Bernama

IPOH: MIC yang kini mencecah usia 80 tahun kekal relevan dalam landskap politik negara sebagai wadah penting untuk memelihara kontrak sosial dan keharmonian antara kaum.

Presidennya Tan Sri S.A. Vigneswaran berkata parti itu memainkan peranan sebagai platform yang membolehkan pemimpin setiap kaum duduk semeja bagi membincangkan kepentingan rakyat berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

“Kita boleh duduk semeja dan berbincang apa yang terbaik untuk semua kaum mengikut kontrak sosial, Perlembagaan yang kita telah lalui sejak kemerdekaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Keluarga MIC Sempena Ulang Tahun MIC ke-80 di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata MIC kekal setia dengan Barisan Nasional (BN) meskipun pada masa ini tidak memegang sebarang jawatan dalam pentadbiran Persekutuan atau kerajaan negeri.

Mengenai persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Vigneswaran berkata rundingan pembahagian kerusi telah dilakukan bersama-sama parti komponen BN, namun menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan kepimpinan tertinggi.

Berkenaan sambutan hari ini, beliau berkata ia diadakan serentak di seluruh negara melibatkan semua bahagian MIC menerusi pelbagai aktiviti termasuk majlis keagamaan.

Beliau berkata pengisian program itu menunjukkan MIC kembali memperkukuh hubungan dengan akar umbi seperti amalan beberapa dekad lepas bagi memastikan parti sentiasa dekat dengan ahli dan rakyat.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement