TAPAH: Semakan rakaman kamera pengawasan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di laluan Bukit Berapit 2 tidak menemukan sebarang imej pendaki wanita hilang, Jaslinda Saludin, 49.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, dapatan itu diperolehi hasil pemeriksaan dilakukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 12.30 tengah hari pada Ahad.
Menurutnya, berdasarkan perkembangan itu, pasukan SAR bersama Perhilitan telah digerakkan ke satu lagi lokasi kamera pengawasan di Gunung Rayu bagi mendapatkan kad memori bagi tujuan pemeriksaan.
"Langkah ini bagi mengenal pasti kemungkinan mangsa tersasar dari laluan utama pendakian.
"Lokasi kamera di Gunung Rayu ini berada kira-kira satu kilometer di luar trek laluan Sukaneka-Gunung Rayu-Bukit Berapit-Pos Musoh," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Beliau berkata, berdasarkan koordinat kamera pengawasan tersebut, kawasan berkenaan terletak dalam daerah Hulu Jelai di Lipis, Pahang.
“Walaupun di luar laluan utama, pemeriksaan tetap dilakukan sebagai usaha mengesan sekiranya mangsa melalui kawasan tersebut,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Sayani berkata, operasi SAR turut berdepan cabaran apabila komunikasi dengan pasukan di lapangan terputus dipercayai akibat berada di kawasan lembah selain liputan komunikasi yang terhad.
Katanya, sehingga jam 10 pagi, seramai 21 anggota pasukan SAR masih berada di lapangan melibatkan JBPM (13), Jabatan Perhutanan (tiga) dan Malim Gunung Perak (MGP) seramai lima orang.
Sementara itu, seramai 17 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah keluar dari kawasan operasi melalui Pos Musoh pada jam 1.13 pagi, manakala lima lagi pasukan penyelamat terdiri daripada JBPM dan Perhutanan keluar melalui Pos Kuala Woh pada jam 2.12 pagi.
"Operasi SAR kini tertumpu di sekitar Gunung Rayu dengan penglibatan anggota JBPM dan MGP.
"Perancangan sedang dibuat untuk menambah kekuatan anggota bagi tindakan lebih bersepadu di sektor pencarian yang dikenal pasti," katanya.
Pada Sabtu, kelibat Jaslinda dilihat melintasi salah satu kamera pengawasan di lokasi laluan pendakian Gunung Batu Putih, dipercayai bergerak mengikut laluan ke Kem Sukaneka, 24 Mei lalu.
Jaslinda dilaporkan menyertai pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 individu lain dan dua malim gunung bermula jam 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Mangsa bersama seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti daripada kumpulan tersebut.
Bagaimanapun, Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan seorang diri ke puncak gunung sebelum kali terakhir dilihat oleh malim gunung pada jam 7.30 pagi, Ahad lalu. - Sinar Harian