Skip to main content

Politik

Mesyuarat tergempar PH Negeri Sembilan bincang persediaan PRN

https://www.sinarharian.com.my/article/782182/berita/politik/mesyuarat-tergempar-ph-negeri-sembilan-bincang-persediaan-prn
Aminuddin (duduk tengah) bersama ADUN dan beberapa pemimpin PH selepas mengadakan mesyuarat di kediaman rasminya. -Foto Sinar Harian

SEREMBAN: Mesyuarat Pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan pada Selasa hanya membincangkan mengenai persediaan parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin bagaimanapun berkata, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun itu bukanlah mesyuarat khas seperti yang diperkatakan.

"Ia adalah mesyuarat biasa, bukan mesyuarat khas. Ia dinamakan tergempar kerana notis singkat selepas pembubaran DUN Johor petang semalam.

“Mesyuarat berlangsung dalam suasana yang harmoni dengan semangat keluarga PH Negeri Sembilan. Kami membincangkan kesiapsiagaan jentera pilihanraya PH untuk PRN yang bakal menjelang,” kata Ahli Parlimen Rasah itu menerusi akaun Facebook miliknya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH bersama beberapa pemimpin parti dilihat hadir ke kediaman rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan seawal jam 9.30 pagi.

Kehadiran mereka dipercayai bagi menghadiri mesyuarat khas berkaitan dengan pembubaran DUN.

Bagaimanapun Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Shahir Mohd Shah memaklumkan, tiada sidang media yang akan diadakan susulan mesyuarat terbabit.

Namun beliau berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun akan mengadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada Rabu. -Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement