KUALA LUMPUR:
Perikatan Nasional (PN) dijangka terkubur sekiranya BERSATU pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi sehaluan dengan Pas.
Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin juga menjangkakan, bekas Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan menubuhkan parti baharu yang akan membentuk gabungan politik baharu bersama Pas.
"Tindakan Muhyiddin dan rakan-rakan dalam BERSATU memecat ahli (Hamzah dan 16 pemimpin BERSATU yang lain) secara beramai-ramai ini membolehkan mereka membentuk satu parti baharu.
“Pada pandangan saya, tidak cerdik dan tidak cermat... ‘Reset’ yang dimaksudkan oleh Hamzah dan rakan-rakan adalah mewujudkan satu parti yang boleh menandingi BERSATU pada bila-bila masa.
“Adapun parti baharu, kalau tidak seiring dengan Pas, habislah. Jika BERSATU sahaja tidak cukup untuk kekal sebagai sebuah Perikatan Nasional (PN). Maka akan adalah koalisi yang baharu (dengan nama baharu). Bagi saya inilah yang mereka fikirkan sebagai ‘reset’,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Pada Jumaat lalu, 17 pemimpin BERSATU dipecat membabitkan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti, termasuk empat Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Mereka ialah Timbalan Presiden merangkap Ahli Parlimen Larut dan Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad; Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan; Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.
ADUN Sungai Manik merangkap Ahli MPT, Datuk Zainol Fadzi Paharudin; ADUN Bemban merangkap Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub dan Setiausaha BERSATU Sabah merangkap Ketua BERSATU Libaran, Yunus Nurdin.
Selain itu, Ketua BERSATU Teluk Intan Kamaruddin Majid; Ahmad Ishak (Gopeng); Mohd Hassundi Hamzah (Larut) dan Mhod Yunus Mhd Yusop (Tapah); Ahmad Nasir Mid (Selayang); Datuk Zulkifli Bujang (Johor Bahru); Ramlan Meon (Tangga Batu) dan Datuk Abdul Aziz Ismail (Dungun).
Turut dipecat ialah Ketua Srikandi Muda BERSATU Sabah, Nabila Norsahar dan Ketua Penerangan BERSATU Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim.
Pada Sabtu, Presiden BERSATU menjelaskan pemecatan itu berikutan usaha perdamaian dan menyelamatkan parti menerusi siri pertemuan tidak berhasil. Malah, Muhyiddin mendakwa ada segelintir pihak yang secara berterusan melakukan sabotaj terhadap parti, bertujuan memecah-belahkan BERSATU dan menggagalkan matlamat perjuangan parti.