JOHOR BAHRU: Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 yang menghimpunkan kira-kira 5,000 perwakilan dan pimpinan seluruh negara membuka tirainya hari ini di sini hari ini dengan fokus terarah kepada persediaan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan amanat utama dan merasmikan kemuncak konvensyen itu pada sebelah petang.
Bertemakan "Tekad MADANI, Harapan Rakyat", konvensyen sehari itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor bermula pada 8.30 pagi menerusi Sesi Town Hall Sayap PH dan ucapan pengerusi-pengerusi PH negeri.
Kehadiran pimpinan utama gabungan itu dijadualkan bermula pada 1.30 tengah hari dalam Sesi Majlis Presiden.
Antara pemimpin yang dijangka memberi ucapan ialah Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu serta Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Amanat Anwar yang dijadualkan pada 3.35 petang dijangka menyentuh mengenai hala tuju strategik gabungan itu, khususnya bagi menghadapi PRN Johor dan Melaka yang semakin hampir, selain memperkukuh kerjasama Kerajaan Perpaduan menjelang PRU16.
Selain siri ucapan politik, konvensyen kali ini turut menyaksikan acara simbolik Penyerahan Kit Jentera Pilihan Raya sebagai simbolik kesiapsiagaan jentera di peringkat akar umbi.
Suasana di pekarangan Persada Johor pagi ini kelihatan meriah dengan kehadiran perwakilan yang mengenakan pakaian seragam parti masing-masing, mencerminkan kesatuan dalam kalangan parti komponen PH iaitu PKR, DAP dan Amanah.
-- BERNAMA