Skip to main content

Politik

[KOLUMNIS] Jatuh terduduk berlipat langkah, UMNO tetap tegak berdiri

81630502743_UMNO.jpg
UMNO tetap gagah, terus bergerak, akan terus menaungi perjuangan dan masa depan orang Melayu serta umat Islam di negara ini biarpun pemimpinnya bertukar ganti.

HARI ini 11 Mei 2026 genap 80 tahun usia UMNO. Sepanjang usianya, terlalu banyak jasa parti itu untuk kepentingan umat Melayu.

UMNO muncul juara membangunkan umat, menyuburkan syiar Islam dan mencemerlangkan negara di persada dunia. UMNO menjadi tulang belakang kerajaan berteraskan penyatuan tiga kaum terbesar; Melayu, Cina dan India menerusi gagasan Barisan Nasional (BN).

Komponen BN lahir daripada cetusan idea mantan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Huseein selepas tragedi 13 Mei 1969.

UMNO telah menyusur pahit getir perjuangan, menongkah segala macam arus, menimba pengalaman di setiap denak sehingga mendaki puncak jaya. Ranjau demi ranjau, onak duri bersilang ganti, jatuh terduduk berlipat langkah, parti tetap tegak berdiri.

Ini semua kerana keberanian pemimpin UMNO yang bertanggungjawab terhadap bangsanya, terhadap tanahairnya dan terhadap agamanya.

Pemimpin UMNO silih berganti berselang seli dengan segala macam cacian, herdikan dan seribu satu macam fitnah. Namun UMNO tidak pernah pudar warna perjuangannya biarpun ada ketikanya langkah terpaksa sumbang geraknya.

Ada ketika perlu berundur selangkah, terluka di hati dan berbekas di jiwa tetapi roh perjuangan UMNO tidak pernah terhenti. Denyutannya tetap terasa.

UMNO hari ini hidup di alaf baharu dengan adunan generasi muda yang lebih berpengetahuan dan cerdas daya fikirnya di samping memiliki naluri keberanian.

Percayalah gabungan kesepakatan pemimpin lama dan baharu akan menjadi benteng kekuatan UMNO untuk pulih dan kembali bertaut di hati umat Melayu.

Tidak dinafikan orang Melayu ada yang kecewa, mual dan muak dengan naratif perjuangan UMNO khususnya selepas PRU15. Tetapi UMNO ini hidup atas semangat dan harga diri orang Melayu dan sudah terbukti dalam tinta sejarah bila mana UMNO pernah diharamkan pendaftaran pada tahun 1988 dan krisis kepimpinan pada 1992 ekoran penyingkiran Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada UMNO.

UMNO tetap gagah, terus bergerak, akan terus menaungi perjuangan dan masa depan orang Melayu serta umat Islam di negara ini biarpun pemimpinnya bertukar ganti.

Bagaimanapun jangan sesekali angkuh mendabik dada kerana kekuatan tidak kekal selamanya, kuasa tidak selamanya dalam genggaman dan rakyat tidak semesti sentiasa setia kepada perjuangan UMNO. Ahli UMNO juga tidak selamanya akan bertahan dengan panji-panji parti jika pemimpinnya semakin hilang sifat kejujuran, tiada keikhlasan dan tidak bertanggungjawab dalam perjuangan.

Ingatlah dalam perjuangan itu ada titik penamatnya - kerana Allah telah merencanakan segala-galanya.

Salam perjuangan.


* Penulis merupakan Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras.

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Sidang Pengarang Astro AWANI.

Must Watch Video