Skip to main content

Politik

Kerjasama kukuh PH, parti komponen kunci kekuatan Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang

Kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan gabungan di bawah payung Perpaduan dilihat sebagai formula paling berkesan dan praktikal dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang. Kerjasama tersebut penting bagi mengelakkan perpecahan undi yang berpotensi menyebabkan kehilangan kerusi, sekali gus memberi kelebihan kepada pihak pembangkang. Malah, walaupun setiap parti mempunyai pandangan tersendiri, pendirian di Pulau Pinang jelas bahawa kita lebih kuat bersama dalam usaha meraih kepercayaan serta so
Chow Kon Yeow bersama pemimpin Pakatan Harapan dan Barisan Nasional menghadiri Majlis Rumah Terbuka PH Pulau Pinang di Dewan Orang Ramai Permatang Pasir, Bukit Mertajam, malam tadi. - Gambar Facebook Chow Kon Yeow

BUKIT MERTAJAM: Kerjasama erat antara Pakatan Harapan (PH) dan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan menjadi kunci utama dalam memastikan kestabilan serta kekuatan gabungan itu terus terpelihara.

Pengerusi Majlis Pimpinan PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pendekatan itu selaras dengan prinsip “lebih kuat bersama”, yang diyakini mampu memperkukuh kedudukan parti menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau berkata, di Pulau Pinang, kerjasama di bawah Kerajaan Perpaduan terbukti sebagai formula berkesan dalam menghadapi pilihan raya.

“Pendekatan ini juga praktikal pada peringkat nasional kerana sebarang formula lain berpotensi memecahkan undi, sekali gus menjejaskan peluang memenangi kerusi serta memberikan kelebihan kepada pembangkang,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka PH Pulau Pinang di Dewan Orang Ramai Permatang Pasir, di sini, malam tadi.

Turut hadir pemimpin PH dan Barisan Nasional (BN), antaranya Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim serta Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR yang juga Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.

Chow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, walaupun setiap parti mempunyai pandangan tersendiri, kesepaduan yang dibina melalui kerjasama itu menjadikan gabungan lebih kukuh dan diyakini mampu meraih kepercayaan rakyat.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga yakin dengan pencapaian setakat ini, khususnya dalam aspek pembangunan ekonomi seperti mengekalkan pelaburan asing, menarik industri serta mewujudkan peluang pekerjaan, meskipun berdepan pelbagai cabaran.

Selain itu, tumpuan diberikan kepada pembangunan sosial dan agama melalui kesinambungan program sedia ada serta penambahan peruntukan dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video