Skip to main content

Politik

Kemelut DUN: Tukar pemimpin negeri waktu ini tidak sesuai, tunggu PRU - ADUN Gemas

RIDZUAN AHMAD, ADUN GEMAS , kredit PSUKNS
Pendirian berkecuali Ridzuan adalah selari dengan prinsipnya untuk mengutamakan kestabilan, kematangan politik dan kebajikan rakyat melebihi kepentingan politik jangka pendek, ujar Ridzuan. - Gambar PSUKNS.

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemas, Ridzuan Ahmad, berpandangan bahawa menukar kepimpinan kerajaan negeri pada waktu ini tidak sesuai dan berpotensi menimbulkan ketidakstabilan.

Beliau yang juga ADUN Bersatu berkata sebarang perubahan besar dalam landskap politik sewajarnya diserahkan kepada mandat rakyat melalui Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

“Semua pihak harus tumpu kepada isu-isu rakyat, kos sara hidup, peluang pekerjaan, kesejahteraan sosial serta pembangunan ekonomi negeri,” katanya menerusi kenyataan akhbar yang disiarkan hari ini.

Pada masa sama, Ridzuan turut menyatakan mengambil pendirian berkecuali berhubung perkembangan semasa politik Negeri Sembilan.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat berdasarkan tindakan 14 ADUN Barisan Nasional (BN) yang telah menarik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun ketika ini.

“Pendirian ini selari dengan prinsip untuk mengutamakan kestabilan, kematangan politik dan kebajikan rakyat melebihi kepentingan politik jangka pendek,” katanya lagi.

Pada masa sama, pendirian Ridzuan dilihat bercanggah dengan kenyataan Ketua Pembangkang dari blok Perikatan Nasional (PN) Mohamad Hanifah Abu Baker pada 27 April lalu.

Hanifah selaku ADUN Labu dilaporkan berkata lima ADUN PN Negeri Sembilan menyatakan kesediaan bekerjasama dengan BN yang telah menarik sokongan kepada kerajaan negeri. 

Pada 2 Mei, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, menegaskan pendirian 14 ADUN BN untuk menarik balik sokongan terhadap Aminuddin adalah muktamad dan tidak akan berubah.

Namun, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata sebarang masalah atau pertikaian membabitkan BN dan Pakatan Harapan (PH) perlu diselesaikan melalui meja rundingan berdasarkan semangat kerjasama yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Must Watch Video