PUTRAJAYA: Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan pengumuman hala tuju politiknya bersama Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad pada Ahad ini sebagai sesuatu yang “luar biasa” dan bukan sekadar pengumuman politik biasa.
Menurut bekas Timbalan Presiden PKR itu, keputusan untuk mengadakan pengumuman secara terbuka serta menjemput orang ramai hadir menunjukkan ia mempunyai signifikan tersendiri.
“Yang itu kena tunggu hari Ahad. Cuma saya boleh sebut macam inilah… kalau setakat pengumuman-pengumuman biasa, maka saya buat dekat TikTok sajalah.
“Saya dan Nik Nazmi buat keputusan untuk mengadakan pengumuman itu secara terbuka dan saya jemput orang ramai datang, maksudnya ia bukan pengumuman politik biasa-biasa. Ia agak luar biasa… luar biasa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada Khamis.
Mengulas spekulasi sama ada beliau akan meninggalkan PKR, Ahli Parlimen Pandan itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan menyerahkan kepada tafsiran masing-masing.
“Yang itu terpulang kepada orang masing-masinglah. Dan memanglah menjadi kelebihan kepada seorang ahli politik macam saya untuk memastikan orang ramai dan pihak media terus tertanya-tanya sampai hari Ahad.
“Jadi, kemahirannya adalah memastikan orang ramai terus tertanya-tanya dan membuat spekulasi,” ujarnya lagi.
Ditanya sama ada terdapat individu lain selain Nik Nazmi yang akan bersama dalam pengumuman itu, Rafizi sekali lagi mengunci mulut bagi mengekalkan elemen kejutan.
Mengulas kemungkinan pembentukan gabungan tertentu pula, bekas Menteri Ekonomi itu berkata perkara tersebut hanya akan dijelaskan pada pengumuman berkenaan.
“Yang itu saya ingat kita tunggu dahulu pengumumanlah… Kerana kita tidak boleh bercakap mengenai gabungan atau apa-apa selagi belum tahu apa sebenarnya yang kami rancang untuk lakukan,” tambah Rafizi.
Pada Rabu, Rafizi dalam kenyataan di laman Facebook berkata, tempoh setahun lalu telah memberi ruang kepada beliau dan Nik Nazmi untuk menilai pelbagai pandangan, pertimbangan serta faktor sebelum memutuskan hala tuju politik seterusnya.
Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan peletakan jawatan masing-masing sebagai Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkuat kuasa pada 17 Jun dan 4 Julai tahun lalu selepas mereka tewas dalam Pemilihan PKR 2025.
Beliau gagal mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar, manakala Nik Nazmi kalah pada pemilihan bagi jawatan Naib Presiden.