GEORGE TOWN: Ekonomi Pulau Pinang bagi tahun 2026 dianggarkan berkembang antara empat dan lima peratus, didorong oleh prestasi kukuh sektor pembuatan berteknologi tinggi, elektrik dan elektronik (E&E) serta perdagangan luar yang terus menjadi pemacu utama ekonomi negeri.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kadar inflasi negeri pula dijangka kekal sederhana antara 1.5 dan 2.5 peratus meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global dan peningkatan kos akibat faktor dalaman dan luaran.
Katanya berdasarkan statistik rasmi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Pulau Pinang terus mengekalkan kedudukan sebagai antara destinasi pelaburan utama negara dengan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM63.96 bilion.
“Daripada jumlah itu, sektor perkhidmatan merekodkan RM41.22 bilion manakala sektor pembuatan mencatatkan RM22.38 bilion, sekali gus menunjukkan keyakinan berterusan pelabur terhadap ekosistem industri Pulau Pinang,” katanya pada sesi penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Chow berkata kerajaan negeri akan terus mengambil pendekatan bertanggungjawab dalam memastikan kelangsungan tadbir urus mampan tanpa mengabaikan kebajikan rakyat di tengah-tengah tekanan ekonomi semasa.
Beliau berkata hasil tambahan yang diperoleh kerajaan negeri akan disalurkan semula kepada rakyat melalui pembangunan infrastruktur, program pemerkasaan sosial seperti i-Sejahtera, pengurusan bencana dan pelbagai inisiatif pembangunan negeri yang memberi manfaat langsung kepada kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, hasil tambahan itu juga berpotensi menyokong pelaksanaan langkah bersasar termasuk inisiatif kecekapan tenaga dan kelestarian, sokongan kepada sektor industri serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selain program pembangunan ekonomi bernilai tambah tinggi.
Chow berkata sehingga 13 Mei lepas, kerajaan negeri merekodkan hasil sebanyak RM403.39 juta manakala perbelanjaan mengurus berjumlah RM310.22 juta, sekali gus mencatat lebihan semasa RM93.17 juta.
Beliau berkata prestasi itu menunjukkan kedudukan kewangan negeri yang kekal kukuh dan berdaya tahan, hasil daripada pengurusan yang cekap dan kawalan perbelanjaan secara berhemat oleh kerajaan negeri.
Sementara itu, Chow berkata Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) akan memulakan operasi secara berasingan mulai 1 Julai 2026 dengan semua hasil CMI bagi tempoh peralihan sehingga Disember 2026 masih disalurkan ke Akaun Bendahari Negeri sebelum dikreditkan terus ke akaun CMI mulai Januari 2027.
“CMI telah berjumlah RM266.8 juta bagi tempoh 2013 hingga 30 April 2026 dan kerajaan negeri juga akan menyediakan geran sokongan bagi memastikan kestabilan kewangan organisasi itu dalam tempoh awal operasi sebagai entiti berasingan,” katanya.
-- BERNAMA