KUALA LUMPUR: Empat ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP tidak bersetuju terhadap tindakan M. Kulasegaran yang bertemu aktivis Arun Doraisamy di Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang, semalam.
Pada masa sama, mereka turut membantah tindakan tersebut kerana Kulasegaran merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) di bawah Kerajaan MADANI.
“Tindakan tersebut telah mengundang polemik awam mengenai integriti sistem perundangan negara,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan hari ini.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Young Syefura Othman (Ahli Parlimen Bentong), Syahredzan Johan (Ahli Parlimen Bangi), Syerleena Abdul Rashid (Ahli Parlimen Bukit Bendera), dan Sheikh Umar Bagharib Ali (Bekas ADUN Paloh).
Mereka turut mengambil maklum penjelasan Kulasegaran mengenai isu ini namun menuntut agar beliau peka terhadap persepsi awam khususnya melibatkan isu keadilan yang perlu dilaksanakan.
Kenyataan tersebut turut menegaskan sebarang tindakan solidariti terhadap Arun yang dituduh mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (Akta 574) tidak mewakili pendirian DAP.
“Kami berpendirian bahawa DAP harus mengambil pendekatan jalan tengah iaitu mempertahankan prinsip keadilan dan “innocent until proven guilty” serta keabsahan proses undang-undang.
“Pada masa yang sama mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan persepsi campur tangan atau keberpihakan,” katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan bahawa Kulasegaran bertemu dengan Arun, tetapi tidak mengiringinya sehingga ke kamar mahkamah, sebaliknya beliau meninggalkan mahkamah pada pukul 8.50 pagi.
Tindakan Kulasegaran itu mendapat kecaman dalam kalangan penyokong dan pengkritik kerajaan.
Kulasegaran dalam kenyataanya pada Selasa berkata, kunjungannya ke mahkamah adalah semasa dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang.
Tambahnya, pertemuan dengan Arun adalah untuk memberi dorongan supaya beliau mempercayai proses perundangan semasa menghadapi prosiding akan datang.
“Saya telah mengenali Arun sejak mewakili Indira Gandhi dalam cabaran undang-undang berkaitan penjagaan anak-anaknya.
“Saya ingin menjelaskan bahawa saya hanya bertemu Arun seketika di kawasan kompleks mahkamah sebelum meninggalkan tempat itu. Saya tidak berada di kamar mahkamah semasa pertuduhan dibacakan dan prosiding dijalankan,” jelas Kulasegaran.