KUALA LUMPUR: Cadangan membawa kembali ahli yang pernah dibuang dan digantung daripada UMNO dilihat sebagai langkah penting ke arah memperkukuh semula perpaduan parti.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Segamat, Datuk Bastien Onn berkata, pengumuman UMNO minggu lalu yang mengajak semua ahli yang pernah dibuang dan digantung kembali ke dalam parti tanpa syarat merupakan langkah positif dalam usaha menyatukan semula keluarga besar parti itu.
Menurutnya, usaha berkenaan diselaraskan oleh Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang bertanggungjawab menguruskan proses penyatuan mengikut tatacara yang diperuntukkan dalam perlembagaan parti.
"Nama-nama seperti Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan bukan sahaja mempunyai pengaruh, malah turut memberi wajah lebih progresif kepada UMNO," katanya dalam kenyataan selepas menyampaikan bantuan Syawal kepada 250 penerima asnaf di Parlimen Segamat, hari ini.
Mengulas lanjut, Bastien berkata cadangan tersebut merupakan pengumuman pertama daripada jawatankuasa berkenaan dan dilihat sebagai langkah terbaik sebagai permulaan sebelum parti menerima kehadiran pihak lain dalam konsep ‘Rumah Bangsa’ yang sedang diusahakan.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan parti atas usaha berkenaan.
"Cadangan yang dikemukakan Mohamed Khaled Nordin kepada pucuk pimpinan untuk membawa kembali mereka yang dibuang dan digantung memberi seribu makna kepada pengertian Rumah Bangsa. Terima kasih Presiden," katanya.
Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyambut baik individu dari Johor yang menyatakan hasrat untuk kembali kepada UMNO.
Bagaimanapun, keputusan muktamad akan dibuat di peringkat Majlis Tertinggi parti melalui Jawatankuasa Rumah Bangsa.
Sementara itu, Ketua MCA Bahagian Segamat, See Ann Giap berkata, kesediaan Menteri Besar Johor mengetuai jentera Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan tepat dalam usaha menarik sokongan rakyat.
Menurutnya, Menteri Besar itu berjaya mengukuhkan kedudukan ekonomi Johor dengan menarik banyak pelaburan luar ke negeri ini, selain terus menjaga kebajikan rakyat.