Skip to main content

Politik

BN perlu tanding PRN Melaka, Johor guna logo sendiri - Ka Siong

61719891692_TBWEEKASIONGJB.jpg
Ka Siong berkata, MCA menjangkakan PRN Melaka akan diadakan tahun ini, diikuti PRN Johor pada awal 2027.

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) perlu bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor akan datang menggunakan logo sendiri.

Memetik laporan The Star, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, MCA menjangkakan PRN Melaka akan diadakan tahun ini, diikuti PRN Johor pada awal 2027.

“Hari ini, saya boleh menyatakan dengan jelas bahawa pendirian MCA ialah BN perlu bertanding dalam PRN Melaka dan Johor menggunakan lambangnya sendiri secara bebas.

“Dalam pilihan raya negeri akan datang, adalah wajar dan munasabah untuk BN terus bertanding menggunakan logonya sendiri serta mendapatkan mandat daripada pengundi untuk mentadbir secara bebas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada sambutan ulang tahun ke-77 MCA di Wisma MCA di sini pada Sabtu.

Menurut Ka Siong, BN sebelum ini memenangi kedua-dua negeri berkenaan dalam pilihan raya lalu.

Beliau memaklumkan, BN kini mentadbir Johor, manakala Melaka pula beroperasi di bawah model kerajaan perpaduan.

Dalam pada itu, beliau mengarahkan jawatankuasa perhubungan negeri di Melaka dan Johor supaya segera mengaktifkan jentera pilihan raya.

Menurutnya, jawatankuasa berkenaan perlu mengemukakan dalam tempoh sebulan senarai calon dicadangkan, barisan jawatankuasa kempen serta kertas strategi kempen yang komprehensif kepada ibu pejabat parti.

Katanya, strategi tersebut perlu merangkumi beberapa aspek penting termasuk publisiti, media baharu, latihan, tinjauan pengundi, lawatan dari rumah ke rumah dan persiapan ejen tempat mengundi serta ejen pengiraan undi.

Ka Siong turut menetapkan dua sasaran, iaitu MCA perlu memenangi lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding pilihan raya lalu, manakala BN juga perlu memenangi kedua-dua PRN dengan bertanding menggunakan logo sendiri.

Mengambil Johor sebagai contoh, beliau berkata negeri diterajui BN menunjukkan kestabilan politik yang lebih baik berbanding negeri ditadbir parti lain.

Menurutnya, kerajaan negeri pimpinan BN juga lebih konsisten dalam mengekalkan pendekatan pentadbiran yang berteraskan kesederhanaan, keterangkuman dan kepelbagaian.

Mengulas kedudukan BN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, beliau berkata, gabungan itu perlu membina semula kekuatan dan menghadapi pilihan raya dalam keadaan terbaik.

Tegasnya, BN tidak boleh berundur atau mengaku kalah lebih awal sebelum pilihan raya berlangsung.

Beliau berkata, walaupun penjajaran politik boleh berubah selepas pilihan raya bagi memastikan kestabilan kerajaan, BN tidak sepatutnya memberi isyarat kelemahan sebelum hari pengundian.

Menurutnya, sekiranya BN perlu bekerjasama dengan parti lain untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya, kekuatan rundingan gabungan itu perlu bergantung kepada jumlah kerusi dimenangi.

Beliau turut menegaskan bahawa MCA akan bertanding dalam PRU akan datang.

Sehubungan itu, beliau menggesa pemimpin dan ahli parti di semua peringkat supaya mengetepikan pertikaian dalaman serta memberi tumpuan kepada pemilihan calon serta gerak kerja di lapangan. - Sinar Harian

 

 

Must Watch Video