Skip to main content

Malaysia

Zamri, Tamim dikesan berada di selatan Thailand

Zamri Vinoth, Tamim Dahri
Menurut sumber keselamatan Thailand, Tamim (kiri) dan Zamri memasuki negara itu melalui jalan darat di pintu masuk Sungai Golok, Narathiwat. - Gambar fail

BANGKOK: Penceramah bebas Zamri Vinoth dan aktivis Tamim Dahri dikesan memasuki Thailand melalui pintu masuk di wilayah selatan negara ini pada Khamis lepas. 

Menurut sumber keselamatan Thailand, kedua-dua individu itu memasuki negara ini melalui jalan darat di pintu masuk Sungai Golok, Narathiwat yang bersempadan dengan Rantau Panjang, Kelantan dengan menggunakan dokumen perjalanan yang sah.

“Laporan awal mendapati kedua-dua mereka masih berada di wilayah selatan Thailand,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Pada Sabtu, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengesahkan Zamri dan Tamim yang disiasat melibatkan beberapa kes berasingan telah melarikan ke Thailand. 

Beliau berkata usaha mengesan dua individu terbabit sedang giat dijalankan dengan bantuan pihak berkuasa Thailand.

Siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataannya pada satu perhimpunan di ibu negara pada 7 Feb lepas telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).

AGC kemudiannya mengeluarkan arahan pertuduhan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, iaitu berkaitan kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat menyebabkan atau yang mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam.

Selain itu, siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataan berbaur penghinaan terhadap kaum India telah dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Pulau Pinang, dengan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Sementara itu, kertas siasatan melibatkan Tamim berhubung tindakan merosakkan soolam, yang merupakan simbol suci dalam agama Hindu di tapak lama kuil di Langkawi, Kedah telah dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Kedah dengan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

Must Watch Video