Skip to main content

Malaysia

YDP Agong berkenan hadir Majlis QSR Brands, RM1 juta disalur kepada pelajar kurang berkemampuan

sultan ibrahim, QSR
(Dari kiri) Penasihat dan penjaga Baitul Sakinah As-Sharif, ACP (B) Mohd Fadzil Ali; Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tasek Utara, Johor Bahru, Uzaini Abdul Razak; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Yang di-Pertuan Agong, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan QSR Brands, Nehchal Khanna; dan Pengerusi QSR Brands, Tan Sri Jamaludin Ibrahim. -Foto QSR Brands

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyempurnakan Majlis QSR Brands Kongsi Bersama dalam usaha membantu pelajar kurang berkemampuan, di ibu negara, pada Isnin.

Keberangkatan Seri Paduka Baginda disambut Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan QSR Brands (M) Holdings Bhd, Nehchal Khanna, bersama barisan pengurusan tertinggi syarikat berkenaan. Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Pada majlis tersebut, Sultan Ibrahim berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan cek bernilai RM1 juta yang disampaikan oleh Nehchal kepada wakil penerima sulung daripada institusi pendidikan terpilih.

Antara penerima termasuk Sekolah Kebangsaan Tasek Utara di Johor Bahru (Sekolah Rintis Bangsa Johor) serta Pusat Jagaan Baitul Sakinah di Selangor.

Dalam ucapannya, Nehchal berkata inisiatif itu diinspirasikan daripada keprihatinan Seri Paduka Baginda yang sentiasa mengutamakan usaha memberi kembali kepada masyarakat serta menyokong pembangunan negara sebagai keutamaan, meskipun dalam waktu yang mencabar.

“Inisiatif ini memberi tumpuan kepada pendidikan dan kebajikan dengan menyediakan asas yang lebih kukuh kepada para pelajar, di samping membuka peluang bermakna untuk memperbaiki kehidupan mereka,” katanya.

Melanjutkan kejayaan kempen Sehati dan program Biasiswa KFC, Kongsi Bersama mencerminkan kepercayaan QSR Brands bahawa kemajuan bermula dengan akses kepada pemakanan, peluang serta sistem sokongan yang membantu generasi muda Malaysia melangkah ke hadapan dengan lebih yakin.

Melalui program Biasiswa KFC, QSR Brands menanggung sepenuhnya yuran pengajian dan penginapan pelajar daripada golongan B40 tanpa sebarang ikatan, sekali gus memberi kebebasan kepada penerima untuk mengejar cita-cita mereka.

Sementara itu, kempen Sehati berkonsepkan ‘feed-to-educate’ telah menyokong seramai 1,400 pelajar sekolah rendah di seluruh negara menerusi penyediaan makanan asas bagi memastikan mereka kekal sihat dan fokus dalam pembelajaran.

Melalui Kongsi Bersama, QSR Brands berhasrat memperluas komitmen tersebut dengan memberi penekanan kepada pendidikan dan kebajikan, di samping menyediakan asas yang lebih kukuh kepada kanak-kanak serta peluang bermakna untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

Susulan penyerahan sumbangan kepada penerima terawal, inisiatif itu disasarkan untuk diperluaskan kepada lebih ramai penerima di seluruh negara, dengan tumpuan terhadap agihan di Johor serta negeri-negeri lain.

Secara keseluruhan, QSR Brands Kongsi Bersama berteraskan semangat perkongsian dengan menghimpunkan komuniti, rakan strategik dan pelanggan untuk membantu golongan memerlukan, sekali gus memperkukuh komitmen syarikat dalam mencipta impak positif melangkaui penyediaan makanan.

Must Watch Video