Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Iran kemuka cadangan akhiri perang, tolak gencatan senjata sementara - IRNA

Sumber: Adobe Stock
Iran telah mengemukakan cadangan yang menggariskan pendiriannya untuk menamatkan peperangan, dengan menolak gencatan senjata sementara dan sebaliknya menuntut penyelesaian kekal.

ISTANBUL: Iran telah mengemukakan cadangan yang menggariskan pendiriannya untuk menamatkan peperangan, dengan menolak gencatan senjata sementara dan sebaliknya menuntut penyelesaian kekal, lapor Anadolu Ajansi yang memetik agensi berita rasmi IRNA.

Iran menyampaikan maklum balasnya terhadap cadangan Amerika Syarikat (AS) melalui Pakistan selepas dua minggu rundingan peringkat tinggi dijalankan.

Maklum balas yang mengandungi 10 perkara itu menolak idea gencatan senjata sementara dan menekankan keperluan kepada penamatan perang secara kekal selaras dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Iran.

Cadangan berkenaan merangkumi tuntutan seperti penghentian permusuhan di rantau itu, satu rangka kerja bagi menjamin laluan selamat melalui Selat Hormuz, pembinaan semula, serta penarikan sekatan.

Cadangan itu dikemukakan susulan perkembangan terbaharu di bahagian barat dan tengah Iran, termasuk laporan mengenai operasi menggunakan helikopter oleh pihak AS.

Di pihak AS, seorang pegawai White House berkata, cadangan gencatan senjata selama 45 hari antara AS dan Iran merupakan "satu daripada banyak idea" yang sedang dibincangkan pada masa ini.

“Presiden belum meluluskannya. Operasi ‘Epic Fury’ masih diteruskan,” kata pegawai itu, menurut wartawan Axios, Barak Ravid.

Ravid berkata, Presiden AS, Donald Trump dijangka memberikan butiran lanjut semasa sidang media di Washington pada 1700 GMT, Khamis ini.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video