Skip to main content

Malaysia

Yayasan PEKEMA agih sumbangan Kasih Ramadan kepada 1,000 keluarga B40 di Selayang

Sumbangan Kasih Ramadan PEKEMA
Bagi pelaksanaan di Zon 10 Majlis Perbandaran Selayang (MPS), seramai 1,000 keluarga dipilih sebagai penerima manfaat menerusi program yang berlangsung di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang, - Foto PEKEMA

KUALA LUMPUR: Yayasan PEKEMA meneruskan komitmen menyantuni golongan kurang berkemampuan menerusi Program Kasih Ramadan dengan mengagihkan sumbangan kepada 1,000 keluarga berpendapatan rendah (B40) di sekitar Selayang, hari ini.

Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu melibatkan agihan bakul makanan bagi membantu meringankan beban kewangan penerima menjelang Ramadan Al-Mubarak, sekali gus memberi suntikan semangat kepada ibu bapa dan penjaga membuat persiapan menyambut bulan penuh keberkatan.

Naib Presiden Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), Raja Petra Marudin Raja Nordin, berkata program itu bukan sekadar bersempena Ramadan, malah menjadi platform memperkukuh budaya kebajikan dalam kalangan warga industri automotif Bumiputera.

"Program ini dirancang bersempena kedatangan Ramadan Al-Mubarak, bulan penuh keberkatan, keinsafan dan rahmat. Ia bukan sahaja bulan untuk berpuasa, tetapi juga memperbanyakkan amalan kebajikan dan membantu mereka yang memerlukan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau menambah peningkatan kos sara hidup memberi kesan besar kepada golongan B40, asnaf, warga emas serta keluarga berpendapatan rendah di sekitar Selayang.

"Justeru, sumbangan ini diharap dapat meringankan beban perbelanjaan harian dan menceriakan persiapan menyambut Ramadan," katanya.

Bagi pelaksanaan di Zon 10 Majlis Perbandaran Selayang (MPS), seramai 1,000 keluarga dipilih sebagai penerima manfaat menerusi program yang berlangsung di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang.

Program berkenaan dianjurkan bersama Pusat Khidmat Masyarakat DUN Taman Templer dan Jawatankuasa Penduduk Zon 10 MPS, sebagai manifestasi keprihatinan berterusan terhadap kebajikan serta kesejahteraan komuniti setempat.

Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan dengan kehadiran Exco Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri Taman Templer, Anfaal Saari, bersama barisan kepimpinan PEKEMA, wakil agensi kerajaan, rakan strategik serta para penerima.

Sementara itu, Ahli Majlis Zon 10 MPS, Ahmad Zahiri Zahid Sofian, berkata kerjasama antara Yayasan PEKEMA dan Pusat Khidmat Masyarakat Zon 10 membuktikan komitmen pelbagai pihak dalam memastikan kebajikan masyarakat terus diberi keutamaan.

"Sebagai Ahli Majlis Zon 10, saya komited memastikan program seperti ini terus memberi manfaat kepada masyarakat setempat. Kerjasama ini membolehkan bantuan sampai kepada keluarga B40 yang memerlukan," ujarnya.

Program Kasih Ramadan itu turut mendapat sokongan ahli PEKEMA, sukarelawan serta rakan strategik, sekali gus mencerminkan semangat solidariti dalam memastikan kebajikan komuniti sentiasa dipelihara.

Must Watch Video