Skip to main content

Malaysia

Wanita maut, dua parah kemalangan tiga kenderaan

Wanita maut, dua parah kemalangan tiga kenderaan. FOTO JBPM
Seramai lapan anggota bersama dua jentera iaitu sebuah LFRT dan sebuah EMRS digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat. - Foto JBPM

KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia 44 tahun maut manakala dua lagi mangsa cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 438.5 Lebuhraya PLUS arah Sungai Buaya, pagi Jumaat.

Menurut Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.30 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa tiba di lokasi yang terletak kira-kira 14 kilometer dari balai.

Katanya, kemalangan tersebut melibatkan dua buah Perodua Myvi serta sebuah Honda Jazz.

"Dalam kejadian itu, kereta Perodua Myvi membawa dua mangsa apabila seorang lelaki tersepit dan mengalami kecederaan parah, manakala seorang wanita tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Seorang lagi mangsa wanita yang berada dalam Perodua Myvi kedua turut tersepit dan mengalami kecederaan parah.

“Manakala seorang lelaki berusia 27 tahun yang memandu Honda Jazz berjaya keluar sendiri dari kenderaan dan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Ahmad Mukhlis berkata, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan pada jam 7.13 pagi dan kesemua mangsa diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut.

"Siasatan lanjut diserahkan kepada pihak polis," ujarnya.

Seramai lapan anggota bersama dua jentera iaitu sebuah LFRT dan sebuah EMRS digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.

 

 

 

Must Watch Video