Skip to main content

Malaysia

Wanita ditemui maut berlumuran darah, terdapat kesan kelar pada leher

71767606875_PDRMPolis.jpg
Seorang wanita ditemui mati dengan kesan kelar pada bahagian leher di sebuah asrama pekerja. - Gambar hiasan/PDRM

NILAI: Seorang wanita ditemui mati dengan kesan kelar pada bahagian leher di sebuah asrama pekerja di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, polis menerima maklumat kejadian jam 11.21 malam daripada seorang lelaki menerusi panggilan MERS 999.

"Lelaki itu maklumkan berhubung penemuan seorang wanita warga asing lingkungan 30-an dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di tangga tingkat empat sebuah asrama pekerja asing.

"Pemeriksaan awal di tempat kejadian mendapati, mangsa mengalami kecederaan kelaran di bahagian leher dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan forensik oleh Bahagian D10 Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan mendapati, terdapat kesan kelar berulang pada leher mangsa menggunakan senjata tajam.

Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan, namun polis tidak menolak kemungkinan wujud unsur konflik peribadi atau kewangan berdasarkan keterangan awal yang diperoleh.

"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai di talian 06-7904222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan secara profesional dan menyeluruh. - Sinar Harian

 

Must Watch Video