KUALA LUMPUR: Balu kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Izette A Samad memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, bahawa wang berjumlah RM2.8 juta yang diterimanya adalah sah dan diberikan secara sukarela sebagai ‘wang pengenalan’.
Bekas pelakon drama ‘Spa Q’ berusia 48 tahun itu berkata demikian ketika memberi keterangan dalam prosiding bela diri atas tiga kes bersubahat di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.
Zizie Izette berkata, wang berkenaan diberikan selepas beliau memperkenalkan Felcra Bhd kepada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid dan Norhaili Ahmad Mokhtar.
Susulan itu, beliau yang juga saksi pembelaan kedua menafikan telah bersubahat dengan Bung Moktar kerana tidak pernah menimbulkan isu wang pengenalan itu kepada bekas Ahli Parlimen Kinabatangan berkenaan.
“Saya tidak memberikan atau menggunakan mana-mana wang daripada jumlah tersebut kepada arwah suami.
“Saya juga tidak memaklumkan perkara ini kepadanya dan sama sekali tidak bersubahat dengan arwah dalam sebarang salah laku rasuah,” katanya dalam pernyataan saksi.
Mengulas lanjut, Zizie Izette yang aktif berlakon dari 1991 hingga 2009 berkata, beliau hanya mengetahui mengenai wang berkenaan selepas dihubungi Norhaili.
Katanya, Norhaili yang juga saksi pendakwaan (SP) ke-25 dan Madhi (SP24) mahu memberikan wang berkenaan sebagai tanda penghargaan kerana membantu mereka dalam rangkaian sosial.
“Saya terkejut kerana tidak buat apa-apa pun, tetapi Norhaili kata wang itu merupakan amalan biasa agensinya dan strategi pemasaran.
“Bukan itu sahaja, Norhaili telah memberi keterangan bersumpah bahawa ia merupakan wang pengenalan dan bukan rasuah,” kata pelakon terbaik Anugerah Skrin menerusi drama ‘Aduhai Esah’ itu.
Menurutnya, SP25 juga mengesahkan pernah memberi wang pengenalan kepada pihak lain dengan nilai mencecah jutaan ringgit.
Zizie Izette berkata, beliau mengenali Norhaili sejak 2013 dan pernah meminta individu itu menguruskan pelaburan wang peribadinya sebanyak RM700,000 dalam produk unit amanah Public Mutual.
“Keputusan untuk membuat pelaburan merupakan keputusan saya sendiri kerana menggunakan wang peribadi.
“Tidak lama kemudian, penyata akaun menunjukkan pelaburan itu membawa pulangan lumayan,” katanya.
Mengikut pertuduhan pertama, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad memperoleh suapan RM2.2 juta daripada Madhi bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II supaya Felcra Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta dalam produk unit amanah Public Mutual Berhad.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Taman Melawati di sini pada jam 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.
Mengikut pertuduhan kedua, beliau didakwa bersubahat dengan Bung Moktar, memperoleh suapan RM262,500 daripada Madhi, sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan sama.
Kesalahan didakwa dilakukan melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas nama tertuduh, di lokasi sama pada jam 12.16 tengah hari 19 Jun 2015.
Bagi pertuduhan ketiga, Zizie Izette didakwa memperoleh suapan RM337,500 daripada Norhaili melalui akaun Public Ittikal Sequal Fund (PITSEQ) sebagai upah kepada Bung Moktar bagi tujuan sama, di lokasi serupa pada jam 12.18 tengah hari 19 Jun 2015.
Semua pertuduhan dibuat mengikut perenggan 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.