KUALA LUMPUR: Uzbekistan berhasrat memperkukuh kerjasama pelancongan dua hala dengan Malaysia dengan memanfaatkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi merancakkan aliran perjalanan antara kedua-dua negara.
Duta Uzbekistan ke Malaysia Dr Karomidin Gadoev berkata kedua-dua pihak bakal mendapat manfaat daripada kerjasama erat dalam promosi pelancongan memandangkan Malaysia kini mempergiat usaha menarik pelancong antarabangsa di bawah kempen utama berkenaan.
“Perlu ada aliran trafik yang seimbang. Jika tidak, penerbangan mungkin tidak berdaya maju sekiranya ia penuh dalam satu arah tetapi kosong semasa perjalanan pulang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau menyifatkan Malaysia sebagai model yang berjaya dalam pembangunan pelancongan, terutamanya dalam segmen mesra Muslim, dan berkata Uzbekistan berminat untuk belajar daripada pengalaman Malaysia sambil memperluas kerjasama.
“Malaysia adalah sebuah negara yang indah dan contoh yang berjaya dalam pelancongan. Kami berminat untuk bekerjasama mempromosikan pelancongan,” katanya sambil menambah bahawa perbincangan sedang dijalankan bagi memperluas rangkaian udara antara Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama Uzbekistan seperti Samarkand dan Bukhara.
Beliau berkata Uzbekistan menerima hampir 12,500 pelancong dari Malaysia tahun lepas, meningkat daripada kira-kira 4,300 pada 2023, yang mencerminkan pertumbuhan kukuh dalam permintaan perjalanan antara kedua-dua negara.
Gadoev berkata Uzbekistan sedang berusaha meningkatkan ketibaan pelancong dari Malaysia dan Indonesia dengan menyasarkan kira-kira 100,000 pelawat dari kedua-dua negara sepanjang 2026 dan 2027, berbanding paras semasa yang kurang daripada 20,000.
Pada masa sama, beliau menekankan bahawa kerjasama pelancongan harus memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, dengan usaha perlu dilakukan bagi menggalakkan lebih ramai pelancong Uzbekistan melawat Malaysia untuk memastikan kesalinghubungan udara yang mampan.
Beliau berkata Malaysia kekal sebagai rakan kongsi penting bagi Uzbekistan, memandangkan pasaran pelancongan menuju ke luar yang kukuh serta populasi Muslim yang besar, selari dengan tawaran pelancongan di Uzbekistan.
Uzbekistan juga sedang memperkenalkan langkah-langkah bersasar bagi memudahkan perjalanan dari Malaysia, termasuk pakej pelancongan yang dikaitkan dengan perjalanan Umrah, sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk mempertingkatkan kerjasama pelancongan.
-- BERNAMA