IPOH: Penceramah bebas, Datuk Mohammad Kazim Elias kini menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital swasta di sini akibat masalah saluran jantung sempit.
Perkembangan itu dikongsikan oleh abangnya, Datuk Mohd Najmuddin Elias menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Menurutnya, Mohammad Kazim, 54, atau lebih dikenali Ustaz Kazim dimasukkan ke hospital selepas mengalami masalah saluran jantung sempit yang memerlukan prosedur memasukkan belon bagi melancarkan aliran darah.
“Ya betul, sekarang di ICU selepas dimasukkan belon bagi melancarkan dan meluaskan saluran jantung yang sempit.
“Selepas satu belon dimasukkan, doktor mendapati terdapat satu lagi saluran sempit yang memerlukan tambahan satu belon lagi,” katanya.
Beliau berkata, sebelum ini Pengasas dan Pengetua Pusat Pendidikan Al Barakah itu ada mengadu mengalami kesakitan yang teramat sangat.
"Buat masa ini pihak hospital tidak membenarkan lawatan kecuali isteri beliau," katanya.
Sehubungan itu, Mohd Najmuddin memohon orang ramai agar mendoakan kesembuhan adiknya supaya dapat kembali meneruskan usaha dakwah seperti biasa.
“Saya merayu kepada semua peminat dan pencinta ilmu supaya solat hajat dan berdoa agar beliau kembali sembuh demi meneruskan usaha dakwah dan menguruskan Pusat Al Barakah yang diterajuinya,” katanya.
Tambah beliau, sebarang perkembangan lanjut mengenai keadaan Ustaz Kazim akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.